PENGUSAHA premis dan pengendali makanan sepanjang Ramadan diingatkan supaya jaga kebersihan. FOTO Mohd Adam Arinin
PENGUSAHA premis dan pengendali makanan sepanjang Ramadan diingatkan supaya jaga kebersihan. FOTO Mohd Adam Arinin
Zuliaty Zulkiffli


SEMUA pengusaha premis dan pengendali makanan diingatkan supaya sentiasa mengamalkan cara pengendalian makanan yang bersih serta menjaga kebersihan diri sewaktu mengendalikan makanan sepanjang Ramadan ini.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, mereka perlu memastikan berkuku pendek, memakai apron dan menggunakan peralatan yang sesuai ketika menyediakan makanan.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah komited dalam memantau penyediaan makanan di Bazar Ramadan melalui Operasi Ramadan 2018 untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan makanan.

"Operasi Ramadan 2018 akan dilaksanakan melalui aktiviti pemeriksaan tahap kebersihan premis di sepanjang rantaian makanan yang meliputi premis pembekal bahan mentah, premis pembekal ais dan premis jualan makanan yang beroperasi di sepanjang bulan Ramadan.

"Matlamat utama operasi ini adalah untuk memastikan makanan yang disediakan atau dijual adalah selamat serta mematuhi kehendak Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Norhizan berkata, pihaknya pun menjalankan pemantauan sejak dua minggu sebelum bermulanya Ramadan dengan membuat pemeriksaan terhadap premis pembekal bahan mentah seperti pembekal ayam, daging, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan, barang-barang runcit dan pembekal ais di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, pendidikan kesihatan turut diberikan sewaktu pemeriksaan dijalankan bagi memastikan semua pembekal terbabit mematuhi aspek-aspek keselamatan dan kebersihan makanan.

"Pendidikan kesihatan juga diberikan melalui taklimat keselamatan makanan dan edaran risalah kepada bakal pengusaha bazar Ramadan yang terpilih.

"Tindakan penguatkuasaan akan dilakukan sekiranya keputusan analisa sampel makanan itu tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985," katanya.

Katanya, pengendali makanan juga perlu mendapatkan suntikan anti-tifoid sebelum mengendalikan makanan malah penggunaan kenderaan perlulah sentiasa bersih bagi mengangkut makanan ke bazar Ramadan.

Selain itu, beliau juga menasihatkan peniaga supaya memastikan makanan yang dijual bertutup dan disimpan dalam bekas yang bersih.

"Notis kompaun boleh dikeluarkan kepada pengusaha atau pengendali makanan yang gagal mematuhi peraturan.

"Pemantauan secara konsisten sepanjang bulan Ramadan ini adalah untuk memastikan keselamatan makanan berada dalam keadaan terkawal.

"Pengguna juga perlu memainkan peranan untuk mengelak keracunan makanan dengan mengamalkan konsep perhati dan pilih sebelum membeli makanan serta memilih gerai makanan yang bersih dan jauh dari pencemaran.

"Selain itu, pilih pengendali makanan yang bersih seperti memakai penutup kepala dan apron, menggunakan peralatan yang sesuai untuk mengambil makanan dan tidak memakai aksesori," katanya.

Menurutnya, pengguna yang mempunyai tanda-tanda keracunan makanan seperti merasa loya, muntah, cirit birit atau sakit perut hendaklah segera ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Sehubungan itu, pengguna yang berasa ragu-ragu dengan status keselamatan makanan di Bazar Ramadan, boleh menyalurkan aduan atau pertanyaan ke pejabat kesihatan daerah berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 11:19 AM