DR Mah   (dua dari kanan) bersama Dr Juita (kiri)  melawat  murid yang  keracunan makanan di Hospital Tapah.
DR Mah (dua dari kanan) bersama Dr Juita (kiri) melawat murid yang keracunan makanan di Hospital Tapah.
Asrizal Aris


Tapah: Kari ayam dipercayai menjadi punca 43 pelajar dan seorang guru Sekolah Menengah Sains (SMS) Tapah, di sini, mengalami keracunan makanan hingga dikejarkan ke hospital, kelmarin untuk mendapatkan rawatan.

Kejadian dikatakan berlaku apabila semua pelajar dan guru terbabit mengalami simptom cirit-birit, muntah dan sakit perut selepas menikmati roti jala bersama kuah kari ayam sebagai hidangan lewat malam, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, 32 pelajar membabitkan 22 lelaki dan 10 perempuan kini ditahan di Hospital Tapah dan seorang lagi pelajar perempuan dibawa ke hospital swasta oleh ibu bapanya susulan kejadian itu.

“Kami dimaklumkan 11 pelajar dibenarkan pulang ke asrama manakala selebihnya masih menerima rawatan di hospital. Bagaimanapun, keadaan mereka semuanya stabil.

“Namun, kami tetap memandang serius kes keracunan makanan itu dan pihak kami turut memeriksa dapur dewan makan sekolah berkenaan serta pengusaha terbabit diarahkan menutup operasi 14 hari.

“Buat sementara waktu, pihak sekolah akan membekalkan makanan kepada pelajar daripada katering makanan di luar sekolah,” katanya pada sidang media selepas meninjau dapur dewan makan SMS Tapah bersama Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie, semalam.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan di dapur dewan makan sekolah itu, terdapat beberapa kelemahan dari segi penyediaan makanan dikenal pasti terutama suhu peti simpanan makanan basah yang tidak menepati syarat serta beberapa peralatan rosak.

“Kita sedia maklum, kejadian sama (keracunan makanan) pernah berlaku di sekolah sama pada 2013 yang membabitkan pelajar calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) ketika itu.

“Pihak sekolah mengambil tindakan menamatkan kontrak pengusaha makanan ketika itu untuk mengelakkan kejadian berulang, namun malangnya ia masih berulang,” katanya.

Menurutnya, kes keracunan makanan membabitkan dapur dewan makan asrama sekolah itu kes keempat pada tahun ini di Perak dan membabitkan mangsa paling ramai berbanding tiga kes berlaku pada 5 Januari di Teluk Intan (19 pelajar), 19 Januari di Bagan Datoh (20 pelajar) dan 4 Mac di Sitiawan (15 pelajar).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 9:30 AM