Siti Farahiyah Aziz

Cabaran berpuasa kadangkala membuatkan anda cepat marah. Keadaan ini berlaku apabila menjelang petang khususnya ketika berdepan kesesakan pulang dari kerja.

Penulis sendiri pernah berdepan masalah apabila berlaku kesesakan dan ada sesetengah pengguna jalan raya membunyikan hon, menggunakan lorong kecemasan serta mencelah antara kenderaan kerana ingin cepat sampai ke rumah.

Sebenarnya emosi boleh dikawal dengan bijak setiap kali timbul rasa marah. Jangan disebabkan emosi yang tidak terkawal menyebabkan sesuatu perkara buruk berlaku atau membuatkan anda kehilangan teman sekeliling.

Antara langkah yang boleh diamalkan untuk membendung rasa marah adalah:

1. Rehat seketika

Sekiranya anda berada dalam situasi tegang dan tertekan dengan tugasan, jangan bertindak memaksa diri melakukan sesuatu dengan terburu-buru. Sebaliknya luangkan masa beberapa minit untuk menenangkan diri.

Ini membantu meredakan emosi, membuatĀ­kan anda berasa lebih baik dan seterusnya menjadikan hasil kerja anda lebih baik.

2. Alihkah perhatian

Salah satu cara lain mengawal emosi adalah mengalihkan perhatian daripada aktiviti yang tidak dikehendaki. Jangan terlalu memikirkan apa yang terjadi dan cuba tumpukan kepada apa perlu anda dihadapi akan datang.

Jangan terlalu serabutkan fikiran dengan perkara yang tidak berfaedah kerana ini akan membuatkan emosi anda tidak terkawal.

3. Jangan lepaskan amarah

Kawal amarah anda terutama ketika di pejabat kerana apabila anda mudah marah ini menunjukkan diri lemah mengawal keadaan. Ini juga menunjukkan ketidakdewasaan anda dalam mengawal emosi.

Cuba ambil nafas untuk bertenang seketika kerana oksigen tambahan akan membuat anda segar dan melambatkan aliran adrenalin.

4. Tampil meyakinkan

Jika ada seseorang di persekitaran anda atau sesuatu yang membuatkan anda berasa tidak selesa kebiasaannya anda mudah mengambil langkah untuk beredar. Ini adalah langkah yang kurang bijak kerana ia belum tentu dapat menyelesaikan masalah dan emosi.

Namun tidak dinafikan berada dalam situasi tidak sesuai akan mendorong anda berubah sikap ke arah negatif. Oleh itu bagi mengawal keadaan anda perlu bijak memainkan peranan dengan tampil lebih berkeyakinan dan bersikap positif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 11:56 AM