BIJAK kendali situasi ketika dalam pergaduhan boleh mengelakkan keadaan bertambah serius.
BIJAK kendali situasi ketika dalam pergaduhan boleh mengelakkan keadaan bertambah serius.

Pergaduhan antara pasangan adalah situasi normal buat insan yang dilamun percintaan. HAZRIL MDNOR faham lelaki mungkin dilihat lebih cepat naik marah tapi ada caranya untuk meredakan kemarahannya, bergantung kepada diri anda mengawal keadaan.

Lelaki sering dikait­kan dengan sifat marah dan hal itu juga menjadi punca keretakan sesebuah perhubu­ngan walaupun ia dibina sekian lama. Tapi sebagai mangsa yang dilontarkan rasa marah, pastinya kita memikirkan cara untuk meredakan kemarahan pasangan. Bagaimana? Kata orang, melawan api mesti dengan air. Jika pasangan anda api, jadilah air yang boleh memberikan ketenangan padanya. Gen Y ada tip berguna yang sesuai diamalkan.

Diam lebih baik

Semua orang tahu yang diam adalah cara terbaik mengatasi apa pun masalah. Andai kata pasangan anda sedang marah, ja­ngan pula anda membalas balik dengan kata-kata yang akan meningkat­kan lagi api kemarahannya. Cuba berdiam terlebih dulu dan biarkan saja dia ingin lontarkan apa pun pada anda kerana jalan penyelesaian tidak akan terjadi di saat pasangan sedang marah.

Jika pasangan anda seorang yang bijak dan panas baran, dia mungkin memerhatikan apa saja ucapan yang keluar dari mulut anda. Justeru, jika anda melawan katanya, pastinya dia akan bertambah berang. Diam tidak bermaksud lemah tapi itulah usaha terbaik yang boleh dilakukan untuk meredakan kemarahan seseorang sekali gus meredakan keadaan.

Pasang telinga

Biarpun pasangan sedang marah, pastikan anda sentiasa berdiam diri tapi pada masa yang sama jangan lupa menunjukkan reaksi bahawa anda sedang mende­ngar dirinya meluahkan perasaan. Ini kerana apabila dia sedang marah dan anda ha­nya mendengar saja, ibarat diri anda membuang ego sepenuhnya dan tidak ingin memburukkan lagi keadaan.

Berucap apabila perlu

Mungkin si dia sudah pun reda dengan kemarahan pada tahap ini tapi ingat mungkin dia masih lagi memikirkan mengenai masalah dalam hubungan. Cuba berikan respons terbaik pada si dia de­ngan mengatakan sesuatu yang mencerminkan kematangan diri anda dalam hubungan, iaitu ucapan yang berasas dan tidak memperli dirinya. Mungkin reaksi anda akan berjaya membuatkan si dia berfikir sejenak pada jawapan anda lantas ingin menghentikan pergaduhan itu.

Sebelum bercakap, penting untuk fikirkan kesan selepas melontarkan kata-kata itu. Tujuan sebenar anda haruslah memberikan pandangan yang baik tanpa membabitkan emosi anda walaupun hakikatnya anda turut berasa marah. Luah­kan perasaan anda padanya, apa keluhan yang disimpan dalam hati tapi jangan lupa untuk sentiasa bertenang.

Perhatikan situasi

Lelaki kebiasaannya akan naik baran jika berdepan dengan situasi yang sukar. Justeru, jika si dia sedang tertekan, elakkan dari memulakan perbincangan kerana mungkin hal itu akan meningkatkan lagi kemarahan si dia pada tahap membimbangkan. Sama juga dengan kata-kata. Apabila berdepan dengan lelaki yang panas baran, perhatikan kata-kata anda agar tidak 'terlepas' cakap. Walaupun anda seorang yang berterus terang itu tidak bermakna anda bebas melontarkan apa saja yang difikirkan anda pada dirinya.

Bukan itu saja, lelaki juga tidak suka diganggu atau dikongkong apatah lagi apabila dia sedang melakukan perkara yang disukainya. Andai kata si dia sedang menonton perlawanan bola, janganlah pula anda mencari nahas untuk memulakan pergaduhan. Kebiasaannya, lelaki panas baran juga mempunyai sikap kurang sabar. Justeru, jika anda mendesaknya maka sudah tentu kesudahannya berakhir dengan teruk.

Gunakan fakta

Padahnya apabila dalam pergaduhan, keba­nyakan wanita akan meng­utamakan perasaan dan emosi lebih dari fakta. Lelaki terutama mereka yang sentiasa berwaspada pasti menginginkan jawapan yang bermakna dan positif. Elakkan dari melayan perasaan marah anda dan berilah respons yang lebih bijak contohnya memberikan si dia berfikir akan kesalahannya dan bukan mendesak dirinya untuk berubah serta merta.

Lelaki yang menjadi pasangan anda hari ini mung­kin panas baran dengan anda tapi tidak bila bersama individu lain. Mungkin sikap anda yang mendesak sering membuatkan si dia rimas dan tidak selesa. Apabila ingin berbicara mengenai masalah, ingat untuk gunakan langkah yang lebih efektif dan menunjukkan kematangan bukannya berasaskan emosi semata-­mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:01 AM