ZAHIRKAN kasih-sayang, bukan kemarahan berpanjangan.
ZAHIRKAN kasih-sayang, bukan kemarahan berpanjangan.
Intan Mas Ayu Shahimi


Setiap orang mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak. Ada yang cenderung bertegas, ada ibu bapa gemar pendekatan santai, ada yang tinggi disiplin, tidak kurang juga tidak segan menggunakan kata-kata kasar.

Tidak kira apapun pendekatan digunakan, ramai ibu bapa bersetuju bahawa didikan yang dipilih bertujuan memastikan anak kekal dalam disiplin dan sentiasa membanggakan ibu bapa di hari tua.

Mungkin dari sudut pandangan peribadi ibu bapa, mereka mempunyai alasan tersendiri mengapa didikan sedemikian dipilih untuk membesarkan anak-anak.

Sekalipun banyak perkongsian daripada pakar psikologi yang boleh dijadikan iktibar, namun berapa ramai di antara kita yang mampu menukar corak didikan mengikut acuan orang lain?

Apapun, dalam mendidik, masih ada garis panduan yang perlu ibu bapa ambil kira. Ia perlu dijadikan asas supaya didikan yang diterap tidak merosakkan masa depan anak-anak.

Berikut sembilan teguran yang kerap disuarakan pakar perkembangan kanak-kanak setiap kali diajukan persoalan mengenai kaedah mendidik anak yang betul.

BERI SOKONGAN

Ada ramai ibu bapa yang percaya bahawa didikan cara tegas boleh mendidik anak dengan disiplin tinggi. Mereka berkeras dalam segala hal berkaitan supaya anak menjadi seorang yang mendengar kata dan pandai berdikari. Ketahuilah bahawa anak sentiasa memerlukan sokongan, perhatian dan kasih-sayang ibu bapa.

Mereka mungkin perlu ditegur atau dimarahi sekali-sekala, tetapi bukan setiap masa. Zahirkan kasih-sayang supaya anak tahu mereka sentiasa dihargai. Mereka perlu rasa selamat dan punya tempat untuk bersandar.

ELAKKAN KRITIKAN

Mengkritik perbuatan anak setiap kali dia melakukan kesalahan kecil adalah perkara yang tidak sihat. Kritikan bukan sekadar menjatuhkan air muka anak, tetapi membuatkan mereka hilang keyakinan diri untuk mencuba. Beri kritikan membina dan nyatakan beberapa cadangan sebaiknya supaya anak dapat belajar daripada kesilapan.

MENGEJEK ATAU PERLI

Tidak kira sama ada mengejek secara sengaja atau dilakukan ketika dalam emosi marah, kedua-duanya boleh mencalarkan hati anak. Sebagaimana orang dewasa, anak kecil dan remaja juga tidak suka diejek.

Bukan maruah saja tercalar tetapi emosi mereka juga tercedera. Cuba bersikap matang dengan anak. Beri teguran secara peribadi, bukan memalukan mereka.

MENYALAHKAN ANAK

Sebagai orang dewasa, kita sepatutnya lebih berlapang dada dalam mengadili kesilapan. Cuba berfikir panjang sebelum menyalahkan anak-anak. Mereka mungkin tidak dapat mempertahankan diri kerana takut dan rasa hormat terhadap ibu bapa. Jadi, berhenti daripada mendera emosi anak dengan meletakkan kesalahan pada mereka.

MEREBUT PERHATIAN

Bukan anak kecil saja yang sukakan perhatian. Ada segelintir ibu bapa yang tidak pernah berhenti merebut perhatian anak-anak. Mereka berpendapat bahawa anak perlu melayani setiap kerenah sebagai membalas jasa membesarkan selama ini.

Ketahui bahawa anak-anak juga mempunyai kehidupan sendiri. Mereka berhak mencari kebebasan dalam hidup dan mengejar impian sewaktu muda.

PANDANGAN SALAH

Kerap kali kita dengar ibu bapa menasihatkan anak lelaki supaya tidak mudah kalah dengan emosi. Mereka tidak boleh menangis, sementara anak perempuan dikatakan hanya duduk didapur selepas berkahwin.

Pandangan salah sebegini bukan saja mengehadkan potensi diri anak, malah membina tanggapan bahawa mereka tidak boleh melakukan apa yang diingini sepanjang hidup.

MENGAWAL DUIT ANAK

Seorang ibu atau bapa tidak seharusnya mengharapkan balasan atas setiap usaha, kasih-sayang dan perhatian yang dicurah kepada anak sejak mereka kecil.

Sekiranya betul cara didikan yang diberi, sudah pasti anak tahu dan sedar mengenai tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Jangan sesekali mengungkit apa yang pernah dilakukan atau dibelanjakan untuk kejayaan anak. Kongkongan sebegini boleh mengancam hubungan ibu bapa dengan anak.

MENDIAMKAN DIRI

Mengapa perlu mendiamkan diri ketika berdepan dengan anak? Mereka bukanlah saingan kita untuk berperang secara emosi. Jika marah, beritahu mereka anda marah. Jelaskan sebabnya. Anak yang baik akan selalu memahami perasaan kedua ibu bapanya.

PAKSA ANAK KEJAR CITA-CITA

Sikap penting diri ini masih berlaku walaupun dunia sudah mencapai era digital. Anak dipaksa menjadi guru kerana ibu pernah bercita-cita sebagai pendidik, atau mungkin dipaksa menjadi polis kerana bapa seorang anggota beruniform.

Ini sebenarnya cerminan kepada sikap mementingkan diri. Kita mengajar anak supaya menjadi seorang yang murah hati, namun dalam masa sama tergamak mementingkan diri sendiri.

Mungkin pada anda, paksaan itu boleh menjamin masa depan anak. Pernahkah anda terfikir bahawa mereka juga masih mempunyai cita-cita dan kehendak diri? Boleh jadi paksaan ini merosakkan emosi anak dalam jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 11:17 AM