Nurul Husna Mahmud


Statistik keganasan rumah tangga berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2020 sehingga Ogos tahun lalu mencatatkan 22,908 kes. Manakala satu statistik keganasan rumah tangga di Pulau Pinang pada tahun lalu turut melaporkan 64 daripada 288 kes adalah lelaki.

Kesimpulan berdasarkan angka direkodkan statistik itu menunjukkan baik lelaki mahupun wanita, berpotensi menjadi mangsa keganasan rumah tangga disebabkan kegagalan pasangan yang berkahwin mengawal emosi marah.

Baik lelaki atau perempuan boleh menjadi mangsa serta pemangsa kepada pasangan yang gagal menguruskan emosi marah atau bersikap baran. Sikap atau tabiat pasangan yang pemarah boleh menyumbang kepada perceraian yang akhirnya menjadikan anak-anak sebagai mangsa.

Menurut Kaunselor dan Pakar Perunding Pengurusan Kemarahan Dr Norisham Abd Ghani, perubahan persekitaran dan gaya hidup masyarakat ketika ini menjadikan tidak jauh beza mengenai reaksi atau tindakan kemarahan ditunjukkan lelaki atau perempuan.

"Kalau keganasan rumah tangga dahulu selalunya orang melihat lelaki adalah pelaku dan wanita sebagai mangsa, tetapi kini keadaan itu tidak lagi sama, malah wanita atau isteri juga boleh menjadi pelaku selain mangsanya adalah suami.

"Di sini wanita juga tidak takut bertindak agresif dan boleh mencederakan pasangannya. Jika lihat kepada statistik hari ini lelaki juga antara mangsa dalam kes keganasan rumah tangga.

"Ini boleh memberi kesan buruk atau insiden lebih serius termasuk kematian jika suami atau isteri gagal menguruskan kemarahan atau sifat baran mereka," katanya.

Lebih 20 tahun dalam kajian kemarahan, kata Dr Norisham, individu boleh mengalami emosi marah disebabkan pengaruh persekitaran atau keperibadian diri yang sememangnya pemarah.

"Ada sebab mengapa hari ini kemarahan pasangan lebih ketara atau intensiti lebih tinggi berbanding insiden pergaduhan pasangan suami isteri terdahulu tidak begitu teruk seperti kemarahan pasangan zaman ini. Antaranya faktor lain yang menjadi pencetus kepada emosi marah itu sendiri.

"Marah ialah emosi negatif yang tidak boleh berdiri sendiri dan biasanya ia bermula daripada emosi lain terlebih dahulu seperti sedih dan kecewa yang mana akhirnya terkumpul lalu menjadi amarah.

FAKTOR kewangan juga penyumbang kepada stres dan individu mudah marah.
FAKTOR kewangan juga penyumbang kepada stres dan individu mudah marah.

"Persekitaran yang 'menekan' seperti masalah di tempat kerja, masalah kewangan, masalah dengan rakan dan masyarakat sekeliling terkumpul lalu dilepaskan apabila pasangan masing-masing melakukan provokasi.

"Keadaan lebih buruk jika individu itu ada sifat peribadi yang sememangnya pemarah. Kombinasi faktor luaran yang menyebabkan individu itu stres dan akhirnya melepaskan kemarahan kepada orang paling dekat iaitu pasangan mereka," katanya.

Kesimpulannya marah itu boleh datang dari pengaruh persekitaran yang dipanggil 'Anger State' atau juga 'Anger Traits' yang merujuk kemarahan itu disebabkan sifat peribadi atau personaliti individu itu.

Tambah Dr Norisham, kebimbangan pasangan selepas berkahwin baru tahu mengenai peribadi pasangan yang baran, tidak dinafikan lelaki atau wanita dengan personaliti itu bijak menyembunyikan karakter mereka.

"Personaliti marah ada ciri-ciri dan karakter menunjukkan mereka ada sifat baran. Tetapi, ia tidak ditunjukkan atau bahasa mudahnya mereka dengan personaliti marah bijak menyembunyikan sifat itu.

"Kalau tahu pun selepas duduk serumah atau hidup bersama mereka. Pasangan hanya mengetahui mengenai suami atau isteri mereka baran apabila sudah hidup bersama.

"Apabila mereka berasa marah, tindak balas diberikan adalah agresif. Perubahan awal ialah suara menggigil atau meninggi, kemudian tubuh juga menggeletar dan mata mula kemerahan.

"Kemuncaknya mereka melepaskan kemarahan dengan mengenakan tindakan fizikal yang kasar sehingga boleh mendatangkan kematian kepada pihak yang bergaduh," katanya.

Mengenai efek atau kesan kemarahan yang berakhir dengan kemalangan atau kematian tragis termasuk dalam keganasan rumah tangga, kata Dr Norisham, kemarahan juga satu emosi yang mana individu mengalaminya memiliki tenaga luar biasa.

MARAH emosi tidak boleh berdiri sendiri.
MARAH emosi tidak boleh berdiri sendiri.

"Orang kena faham apabila individu marah, mereka memiliki tenaga yang banyak dan luar biasa untuk dilepaskan. Mereka yang mempunyai masalah baran atau emosi marah tidak terkawal menjadikan hilang kawalan terhadap diri termasuk tindakan mereka terhadap orang atau benda sekeliling.

"Atas faktor itu kita mendengar orang biasa apabila mengamuk boleh angkat beban atau baling benda berat. Begitu juga dalam kes kalau pergaduhan yang teruk sehingga boleh mencederakan orang termasuk membunuh, itu juga menunjukkan marah mengeluarkan kekuatan luar biasa.

"Jadi, elakkan provokasi dengan individu yang marah atau mudah amuk termasuk pasangan sendiri kerana itu memberi kesan buruk terhadap hubungan.

"Jika sedia maklum pasangan tidak menyukai atau berada dalam keadaan marah, ambil langkah bertenang atau mendiamkan diri. Bincang masalah atau isu rumah tangga itu apabila pasangan dalam keadaan tenang.

"Langkah bijak jika suami atau isteri menyedari pasangan seorang mudah marah sudah mula naik angin atau maki hamun, beredar atau lari dari tempat pergaduhan.

"Urus emosi diri dan relaks seperti tarik nafas dalam-dalam. Berdiam diri dan ambil masa bertenang. Kemudian kena empati dengan mereka yang tengah marah. Mereka marah mudah melepaskan segala terpendam dan sebagai pasangan kena teliti yang mana satu punca masalah yang menyebabkan mereka marah," katanya.

Sementara itu, menurut pakar pengurusan amarah itu lagi, suami atau isteri yang menyedari mereka ada sifat baran atau seorang pemarah perlu dapatkan bantuan untuk uruskan emosi terbabit.

"Kalau individu pemarah itu sayang keluarga atau pasangan mereka, dapatkan bantuan atau tip untuk menguruskan perasaan marah. Mereka kena teliti kesan kemarahan mereka itu boleh menjauhkan pasangan dan keluarga dari diri mereka.

"Dalam tempoh panjang, hubungan rumah tangga terancam kerana sifat marah itu sendiri. Kena akui dahulu kegagalan mereka mengawal emosi marah dan dapatkan bantuan kaunselor atau psikologi untuk tangani masalah emosi terbabit.

"Ego kena buang jauh baik individu yang memiliki sifat pemarah atau pasangannya supaya hubungan rumah tangga dapat dipelihara. Lagi baik ia mengelak menjadi contoh kepada anak-anak kerana emosi atau tindakan daripada perasaan marah itu boleh belajar dan ditiru anak-anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 7:00 AM