Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: BATC Development Berhad (Bionas), pengeluar utama produk biodiesel daripada pokok Jarak terus mengukuhkan perancangan perniagaannya menerusi pelan penyenaraian sahamnya di Pasaran Pelaburan Alternatif (AIM) Bursa Saham London (LSE) pada suku pertama 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Zurina Amnan berkata, inisiatif penyenaraian terbabit meliputi sejumlah pelaburan bernilai kira-kira AS$250 juta yang dijangka melonjakkan lagi syarikat berkenaan di peringkat global.

Menurutnya, dengan prestasi cemerlang yang diraih Bionas dari setahun ke setahun dalam industri minyak dan gas (O&G) serta automotif di peringkat antarabangsa, kini tiba masa untuk melaksanakan senaraian di LSE.

“Penyenaraian di LSE adalah langkah terbaik meraih dana bagi menyokong pelan pengembangan kami yang ketika ini dilaksanakan di luar negara bagi menampung permintaan bahan api boleh diperbaharui di pasaran Eropah.

“Produk kami lebih dikenali dan diiktiraf dunia Eropah lebih-lebih lagi selepas menerima pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyedari potensi pokok Jarak sebagai sumber bagi menghasilkan biodiesel,” katanya, di sini.

Beliau berkata, syarikat memilih untuk disenaraikan di LSE berbanding Bursa Malaysia kerana biodiesel pokok Jarak lebih dikenali di negara Eropah sebagai bahan api alternatif terbaik dan berpotensi untuk menggantikan bahan api fosil.

Ketika ini, hab pemasaran Bionas bagi rantau ASEAN berpusat di Indonesia manakala bagi Eropah adalah di Turki serta Nigeria untuk negara Afrika.

Bionas yang turut berpangkalan di Amerika Syarikat itu ketika ini mempunyai lapan produk biodiesel untuk pelbagai jenis kenderaan yang beroperasi di lebih 51 negara seluruh dunia.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Bionas, Datuk Seri Mohd Safi’e berkata, syarikat juga memiliki rangkaian stesen minyak biodiesel M30 Bio-Petrol dan B30 Bio-Diesel yang sentiasa menjadi pilihan penduduk tempatan berdasarkan kelebihan dimiliki produk biodisel yang ditawarkan dengan harga berpatutan.

Bionas mengeluarkan bioaditif bagi petrol, diesel, bahan api berat bagi pesawat serta batu bara yang dihasilkan dalam bentuk tablet, serbuk dan cecair yang dapat membantu mengurangkan pelepasan asap berbahaya sehingga 97 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 7:54 AM