KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Emir Mavani  Abdullah (dua dari kiri)  pada majlis taklimat mengenai PME, semalam.
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah (dua dari kiri) pada majlis taklimat mengenai PME, semalam.
Oleh Hafiz Ithnin .

.

Kuala Lumpur: FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berhasrat menjadi pengeluar metil ester berasaskan minyak sawit (PME) terbesar dunia menjelang 2016 bersandarkan pembesaran operasi pengeluaran terbarunya di Kuantan, Pahang pada tahun berkenaan dengan suntikan pelaburan mencecah RM165.4 juta.

Ketika ini, FGV menjadi pengeluar PME kedua terbesar dunia dengan kapasiti 100,000 tan setahun dan akan meningkat kepada 350,000 tan setahun apabila kilang itu mula beroperasi sepenuhnya.

Ketua Pemprosesan, Bahagian Sawit Hilirannya, Datuk Zakaria Arshad berkata, bahan bakar campuran yang bersifat bioteknologi itu hanya disasarkan kepada pasaran eksport dan digunakan sekitar 30 peratus untuk pasaran domestik.

Beliau berkata, terdapat permintaan tinggi PME di Amerika Syaikat dan Eropah yang mana kedua-dua negara itu menjadi sasaran pasaran pada masa depan.

"Di Malaysia kita menggunakan PME untuk menghasilkan biodiesel bagi kegunaan 450 lori tangki milik FGV dan terkini B30 diperkenalkan yang mana ia mengandungi 30 peratus PME dan 70 diesel.

"Kami berhasrat untuk memperkenalkan B100 yang mana ia terdiri daripada 100 peratus PME untuk digunakan oleh lori tangki FGV menjelang 2016," katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Penggunaan PME yang dicampurkan dengan diesel yang dikenali sebagai biodiesel mampu menjadi bahan bakar untuk kenderaan serta berpotensi menawarkan penjimatan dan mengurangkan kebergantungan FGV ke atas bahan bakar fosil.

Ujian penggunaan B30 telah dilakukan ke atas tiga buah lori tangki dari depoh FGV di Gebeng, Kuantan ke loji minyak sawit di Bukit Sagu, Pahang pada 4 Disember lalu yang mana pelbagai penanda aras dipantau syarikat berkenaan antaranya pembebasan gas emisi dari ekzos dan ia memberikan hasil positif dalam ujian berkenaan.

Untuk mempromosikan kelebihan biodiesel dan mendidik masyarakat mengenai kesan rumah hijau, dua buah trak menggunakan biodiesel B30 akan menjelajah di seluruh Malaysia yang berlangsung selama dua tahun.

Zakaria berkata, FGV menjadi syarikat pertama Malaysia yang menguji campuran biodiesel dengan kapasiti empat kali lebih tinggi daripada biodiesel B7 yang ketika ini ditetapkan oleh kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 9:00 AM