ROSDI (kanan) menimbang minyak masak terpakai yang diperolehnya. FOTO Ihsan Mohd Rosdi Abu Bakar
ROSDI (kanan) menimbang minyak masak terpakai yang diperolehnya. FOTO Ihsan Mohd Rosdi Abu Bakar
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jangan dibuang minyak masak terpakai kerana ia boleh menghasilkan pendapatan lumayan dan mungkin ramai tidak mengetahui perkara ini.

Selain boleh dikitar semula untuk dijadikan bahan seperti biodiesel, ia boleh digunakan untuk membuat lilin, pencuci, sabun serta makanan haiwan.

Perkara ini dikongsi pekerja kilang elektronik Mohd Rosdi Abu Bakar, 48, yang menetap di Butterworth, Pulau Pinang yang menjalankan perniagaan minyak masak terpakai secara sambilan sejak enam bulan lalu.

"Sebelum ini saya hanya lihat kawan jual minyak masak terpakai. Ada yang sudah 20 tahun lakukan perkara ini.

"Saya cuba, tetapi separuh masa sahaja iaitu pada setiap Ahad. Pada hari itu saya beli minyak masak terpakai daripada pelanggan," katanya.

Meskipun hanya dibuat secara sambilan iaitu sewaktu bercuti dari kerja, Mohd Rosdi tidak menyangka pendapatan agak lumayan sehingga boleh mencapai sekitar RM3,000 setiap bulan.

Minyak masak terpakai yang dikumpulnya kira-kira satu tan sebulan dibeli oleh syarikat Airil Global Resources yang beroperasi di Kulim, Kedah.

Berkongsi tentang pembabitannya dalam perniagaan itu, Mohd Rosdi berkata, dia memperolehi pelanggan menerusi iklan untuk membeli minyak masak terpakai di laman Facebook.

"Ramai yang menghubungi dan bertanya memang boleh jual ke minyak masak terpakai ini. Tidak dinafikan ramai yang tidak tahu minyak masak yang sudah diguna ini boleh dijual semula dan ada kegunaannya.

"Saya pergi sendiri ke rumah pelanggan yang mahu menjual minyak masak mereka. Setakat ini, pelanggan saya dalam kalangan suri rumah, peniaga restoran, kedai makan dan peniaga pasar malam, " katanya sambil menambah, pelanggannya dari seluruh Pulau Pinang, Sungai Petani dan Padang Serai, Kedah.

Menurut Mohd Rosdi yang berasal dari Terengganu, harga minyak masak terpakai diambil dari pelanggannya antara RM1.50 untuk satu kilogram (kg) hingga 49kg, manakala RM1.60 bagi 50kg ke atas dan RM1.80 untuk 100kg ke atas.

Optimis dengan penjualan minyak masak terpakai dapat membantu ekonomi keluarganya, bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, sasarannya kini untuk mendapatkan 100 pelanggan tetap terdiri daripada kalangan peniaga.

Ada banyak faktor membuatkan ramai tidak menyedari kelebihan minyak masak terpakai ini.

Antaranya, kurangnya promosi serta pendedahan tidak meluas kepada golongan sasaran seperti suri rumah dan peniaga kedai makan.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak, faktor harga belian minyak masak terpakai agak murah menjadikan ia tidak menarik perhatian ramai.

"Contohnya, harga belian minyak masak terpakai ditawarkan sekitar RM1 sekilogram mungkin kelihatan kurang menarik minat orang ramai. Selain itu, sistem sokongan serta kemudahan orang awam berminat mengumpul dan menjual minyak masak terpakai masih belum meyakinkan.

"Ini termasuk ketidakseragaman operasi kitar semula yang masih dilihat sebagai aktiviti bersifat kecil-kecilan dan murahan. Isu piawaian mutu biodiesel berdasarkan American Biodiesel Standard ASTM D6751 menjadi punca tidak ramai pemain industri yang berani menceburi bidang ini secara telus," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, apabila teknologi penukaran minyak masak terpakai menjadi semakin ringkas dan lebih ramai pengusaha terbabit dalam industri minyak masak terpakai, cabaran itu boleh diatasi dan kesedaran orang awam boleh dipertingkatkan lagi.

Antara manfaat utama sering didengar berhubung kegunaan minyak masak terpakai ini adalah ia boleh dijadikan biodiesel.

Menurut Mohd Yusoff, minyak masak terpakai lazimnya dikumpul dan ditapis melalui beberapa peringkat sebelum melalui proses kimia untuk dijadikan bahan api kenderaan atau biodiesel.

"Minyak masak terpakai bertapis melalui proses kimia dikenali dengan nama transesterifikasi yang dilaksanakan dengan bantuan pelbagai katalis (pemangkin) bersifat asid, alkali dan enzim dalam proses homogeneous atau heterogeneous (satu proses dalam fasa fizikal-kimia yang sama serta fasa fizikal-kimia yang berlainan).

"Proses penukaran minyak masak terpakai kepada biodiesel adalah proses yang rumit, memakan kos dan bahan api," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, UPM turut membuat penyelidikan dan berjaya membangunkan minyak masak sebagai biodiesel bagi kegunaan mesin dan jentera kenderaan.

Menurut Mohd Yusoff, teknologi di UPM adalah hasil kajian selama lima tahun oleh penyelidik Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul.

"Sebagai makluman, enjin diesel tidak memerlukan pengubahsuaian bagi menggunakan biodiesel memandangkan hanya 10 peratus biodiesel diperlukan untuk dicampurkan dengan 90 peratus diesel (B10) sebelum digunakan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai berminat boleh menjual minyak masak terpakai ke loji pepandu di Kampus UPM Serdang pada harga RM1 sekilogram.

Sebuah syarikat membeli minyak masak terpakai iaitu NKH Bio Solution memainkan peranan menyedarkan masyarakat dengan menjalin kerjasama bersama beberapa Badan Pengurusan Bersama (JMB) di kediaman di Selangor menerusi program Trash To Cash.

Eksekutif Jualan syarikat itu Rozaimi Salleh memberitahu, program Trash To Cash anjuran JMB Residensi Puchongmas membolehkan penduduk menjual terus minyak masak terpakai mereka kepada syarikatnya secara langsung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 7:01 AM