ANGGOTA bomba melakukan kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
ANGGOTA bomba melakukan kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Lelaki maut tersepit selepas kereta dipandunya merempuh belakang treler yang diletakkan di bahu jalan berhampiran Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET), di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.20 pagi itu, mangsa berusia 38 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di beberapa anggota badan.

Difahamkan, mangsa datang dari arah Pantai Remis menuju ke Sitiawan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.27 pagi sebelum sepasukan anggota yang diketuai Abd Rahmat Mat ke tempat kejadian.

" Rempuhan itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan pasukan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alatan menyelamat .

"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 8.20 pagi," katanya ketika dihubungi , di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 11:21 AM