KEADAAN kereta Proton Wira yang remuk dalam kemalangan dengan sebuah bas di Batu 14 Lekir, Jalan Lekir-Sitiawan yang menyebabkan seorang parah dan dua lagi termasuk kanak-kanak perempuan kereta berkenaan cedera. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kereta Proton Wira yang remuk dalam kemalangan dengan sebuah bas di Batu 14 Lekir, Jalan Lekir-Sitiawan yang menyebabkan seorang parah dan dua lagi termasuk kanak-kanak perempuan kereta berkenaan cedera. FOTO Ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi


SEORANG parah manakala dua lagi termasuk kanak-kanak perempuan cedera selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan bas di Batu 14 Lekir, Jalan Lekir-Sitiawan di Sitiawan, malam tadi.

Dalam kejadian 9.10 malam itu, bas yang membawa 20 penumpang itu dari arah Sitiawan menghala ke Teluk Intan, manakala kereta terbabit dari arah bertentangan.

Difahamkan, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan bas berkenaan.

Bagaimanapun, pemandu dan 20 penumpang bas itu tidak mengalami kecederaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan menerima panggilan kejadian pada 9.14 malam.

Menurutnya, kemalangan membabitkan dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki kereta Proton Wira, dengan bas.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba mendapati dua mangsa sudah dikeluarkan dan dibawa ke hospital.

“Sementara, seorang lagi masih terperangkap dan parah sebelum pasukan bomba mengeluarkan mangsa itu dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan yang hadir untuk tindakan lanjut sebelum operasi yang diketuai Tajul Arif Ahmad itu tamat sepenuhnya pada 10.40 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 8:43 AM