AFP

Saint-Étienne, Perancis: Penjaga gol Arsenal Petr Cech berkata gangguan dicetuskan penyokong Croatia dengan membaling suar ke dalam padang membantu pasukannya Republik Czech meraih keputusan seri dramatik 2-2, semalam.

Ketika Croatia mendahului 2-1, pengadil Mark Clattenberg menghentikan perlawanan seketika apabila suar dibaling dari tempat duduk penyokong Croatia jatuh ke dalam padang. Ketika itu, masa penuh perlawanan 90 minit hampir tamat.

Apabila perlawanan bersambung, pertahanan Croatia Domagoj Vida dipersalahkan kerana bola terkena tangan dan Tomas Necid memanfaatkan sepakan penalti pada minit ke-94 untuk mata pertama mereka dalam Kumpulan D.

“Saya gembira kerana kami dapat menyamakan kedudukan. Saya anggap penangguhan sementara perlawanan itu akibat perbuatan penyokong mereka, membantu kami untuk seri,” kata Cech, 34, selepas aksi di Saint-Etienne.

“Mereka mengawal permainan ketika itu dan tiba-tiba kehilangan rentak bagi memberi peluang kepada kami untuk mengaut kesempatan.

“Kami pula mula bersemangat dan walaupun Croatia mempunyai beberapa serangan balas (sebelum gangguan itu) tapi sejak dari situ, mereka sebenarnya tidak begitu mengancam,” kata bekas penjaga gol Chelsea itu.

Sebaik saja selepas penalti Republik Czech itu, penyokong Croatia kelihatan bertumbuk sesama sendiri di tempat duduk mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:23 AM