Zagreb: Persekutuan Bolasepak Croatia (HNS) meminta kerajaan supaya bertindak tegas bagi menamatkan isu penyokong ganas selepas aksi kempen kelayakan Euro 2016 menentang Itali awal pagi kelmarin dicemari insiden balingan suar.

Insiden di Stadium San Siro di Milan itu mencemarkan perlawanan yang berkesudahan seri 1-1. Perlawanan berkenaan turut terhenti 10 minit apabila penyokong Croatia menjadikan penjaga gol Itali Gianluigi Buffon sebagai sasaran balingan suar.

“Malangnya, persembahan cemerlang pasukan Croatia terjejas gara-gara tindakan penyokong kami dan ia disaksikan seluruh dunia,” kata kenyataan yang dikeluarkan HNS.

HNS menyifatkan pujian sepatutnya diterima skuad Croatia, sebaliknya imej mereka tercalar gara-gara tindakan bodoh segelintir individu yang melabel diri mereka sebagai ‘penyokong tegar Croatia’.

Selain mengecam perbuatan berkenaan, badan induk terbabit turut meminta badan perundangan negara Balkan itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap kelompok terbabit.

“Kami menyeru semua badan, bermula dengan kerajaan untuk menimbang insiden itu kerana ia memalukan Croatia secara keseluruhannya.”

Badan induk itu turut memohon maaf kepada Itali selaku tuan rumah serta penyokong tempatan yang menyaksikan perlawanan itu.

Bagaimanapun, mereka turut menimbulkan isu bahawa HNS sudah mengingatkan Itali serta wakil UEFA berhubung kelemahan sistem tiket di San Siro yang menyebabkan kira-kira 1,400 penyokong Croatia dipercayai menggunakan tiket palsu, dibenarkan masuk dan kelompok itulah yang dipercayai bertindak ganas ketika perlawanan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:07 AM