PETUGAS cuba memadamkan suar.
PETUGAS cuba memadamkan suar.
PETUGAS mengelak daripada suar yang dibaling penyokong.
PETUGAS mengelak daripada suar yang dibaling penyokong.
AFP

Zagreb: Penyokong tegar kelab Croatia, Hajduk Split yang dipercayai suspek membaling suar ke dalam padang ketika perlawanan pasukan negara itu menentang Republik Czech, mengugut melalui Facebook akan turut membuat kacau pada perlawanan menentang Sepanyol.

Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sudah mengemukakan tuduhan terhadap sekurang-kurangnya 10 suar yang dibaling ke padang ketika pasukan itu seri 2-2 dengan Republik Czech di Stadium Saint-Etienne pada Jumaat lalu.

Insiden berkenaan mencetuskan kemarahan negara Balkan itu apabila jurulatih Croatia Ante Cacic melabelkan mereka sebagai ‘pengganas sukan’ manakala Presiden Kolinda Grabar-Kitarovic pula menggambarkan mereka sebagai ‘musuh Croatia’.

Kumpulan penyokong ‘Torcida Split 1950’ itu memuat naik pelan susun atur Stadium di Bordeaux yang bakal menjadi venue Croatia menentang Sepanyol, hari ini dan rancangan tindakan mereka yang disertakan dengan status ‘rancangan lain’.

Beberapa pengguna yang berang dengan status itu kemudiannya mengeluarkan komen antaranya ‘kamu memalukan negara ini’ dan ‘kamu patut malu dan terima kasih kepada samseng seperti kamu, saya malu menjadi rakyat Croatia’.

Beberapa jam sebelum perlawanan bermula menentang Republik Czech, Torcida dilaporkan turut melakukan perkara sama apabila memuat naik pelan susun atur Stadium Saint-Etienne.

Persekutuan Bolasepak Croatia (HNS) menegaskan UEFA dan polis Perancis sudah diberi amaran berhubung rancangan kumpulan samseng berkenaan untuk mengganggu perlawanan.

HNS berkata, insiden itu dipercayai didalangi penyokong Hajduk Split, namun kumpulan berkenaan menafikan tuduhan itu dan menegaskan ia palsu dan tidak berasas.

Penyokong bola sepak Croatia mempunyai sejarah lampau dalam membaling suar dan melaungkan slogan pro-Nazi pada perlawanan negara itu sebelum ini.

Menjelang Euro 2016, pihak polis Croatia juga sudah menghantar 326 senarai nama yang dipercayai berpotensi membuat kacau di Perancis.

Selain daripada kelab Hajduk Split, penyokong tegar berkenaan turut dikaitkan dengan juara liga Croatia Dinamo Zagreb.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 8:33 AM