Astana: Republik Czech melakar kemenangan 4-2 ke atas Kazakhstan awal pagi semalam dengan pelawat mengekalkan rentak kemenangan pada peringkat awal kempen kelayakan Euro 2016.

Republik Czech yang sudah menewaskan Belanda dan Turki dalam Kumpulan A, meledak dua jaringan pada setiap babak untuk melakarkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam perlawanan yang didominasi sejak awal.

Mereka mendahului pada minit ke-13 apabila pemain tengah Sparta Prague, Borek Dockal menyambut hantaran pendek Daniel Kolar dan melepaskan rembatan kencang leret pada minit ke-25 untuk menewaskan penjaga gol Kazakhstan, Andrei Sidelnikov.

Seminit sebelum rehat, mereka meledak gol kedua dengan seorang lagi pemain Sparta Prague, David Lafata menampan hantaran silang rakan sepasukan, Pavel Kaderabek.

Tuan rumah yang hanya mengumpul satu mata dalam kempen kelayakan ketika ini, tidak pernah menguji penjaga gol Republik Czech, Petr Cech pada peringkat awal perlawanan namun cuba memberi tekanan pada awal babak kedua.

Republik Czech kekal bertahan dengan asakan dan selepas percubaan Kazakhstan menggegar tiang, mereka meraih jaringan ketiga pada minit ke-56 apabila hantaran silang David Limbersky di kotak penalti disudahkan Ladislav Krejci menerusi rembatan untuk melepasi Sidelnikov, menjadikannya penjaring ketiga dari kelab Sparta Prague pada awal pagi semalam.

Yuri Logvinenko meledak dua jaringan untuk Kazakhstan pada baki 10 minit, termasuk satu gol pada masa kecederaan namun ia lebih kepada sagu hati selepas Tomas Necid membolehkan pelawat mendahului 4-1.

Anak buah Pavel Vrba memulakan kempen mereka dengan cemerlang dan kelihatan sudah menemui penyelesaian terhadap ketumpulan sentuhan penyudah Dockal yang meledak gol dalam tiga perlawanan awal mereka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:04 AM