Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Pekan: Masyarakat luar bandar tidak pernah dipinggirkan bagi sebarang projek pembangunan yang dilakukan malah kerajaan memberi jaminan kumpulan berkenaan dapat memperoleh pendapatan tetap manfaat daripada projek berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata segala projek pembangunan dijalankan secara menyeluruh merangkumi aspek kemudahan asas serta sumber ekonomi yang membolehkan mereka memperoleh pendapatan tetap bulanan sehingga RM1,000 sebulan.

Beliau berkata, menerusi penyertaan projek pertanian atau penternakan itu membolehkan mereka membuat tabungan atau melabur untuk masa depan lebih terjamin.

"Kita melaksanakan pembangunan luar bandar dengan melihat secara pakej dan menyeluruh kerana jika kita bina rumah tanpa sediakan sumber ekonomi dan bagi rumah dengan bekalan air terputus-putus, ia bukan pembangunan bersifat menyeluruh.

"Kerajaan menyediakan pembangunan luar bandar itu bukan saja membina bekalan kemudahan asas termasuk rumah, jalan raya dan bekalan air serta api tetapi juga menyediakan sumber ekonomi untuk mereka laksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan kunci rumah kepada 102 Orang Asli peserta Agropolitan Pekan, Runchang, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 6:53 PM