ROSE adalah Orang Asli pertama memiliki salun kecantikan hasil mengikuti Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER Jerantut.
ROSE adalah Orang Asli pertama memiliki salun kecantikan hasil mengikuti Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER Jerantut.
PELAJAR Orang Asli dapat mengulang kaji pelajaran dalam suasana serba lengkap pada  Super Camp SK  Runchang.
PELAJAR Orang Asli dapat mengulang kaji pelajaran dalam suasana serba lengkap pada Super Camp SK Runchang.
PEKAN bakal menjadi hab ternakan kambing biri-biri Dorper terbesar di Asia Tenggara.
PEKAN bakal menjadi hab ternakan kambing biri-biri Dorper terbesar di Asia Tenggara.
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 102 peserta Orang Asli Projek Agropolitan Pekan di Runchang apabila menerima kunci rumah baharu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Ia turut menjadi detik bermakna buat Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, selepas melancarkan projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi membasmi kemiskinan Orang Asli itu pada 2009.

Daripada cara hidup tradisional, peserta kini boleh berbangga apabila projek ternakan biri-biri Dorper itu kini memberikan pendapatan tetap bulanan antara RM650 hingga RM950. Malah, perumahan di projek berkenaan turut memiliki kemudahan asas yang lain di persekitaran termasuk pusat sumber, tadika, surau, taman permainan, gelanggang futsal dan kedai serbaguna.

Peristiwa bersejarah itu juga membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan penyertaan masyarakat itu dalam ekonomi dan sosial negara. Ia bukan satu-satunya projek dirangka menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi memastikan kualiti hidup, pendapatan dan kemahiran keusahawanan masyarakat itu. Pihak ECERDC, dengan kerjasama kerajaan negeri terbabit, FELDA serta Jabatan Kemajuan Orang Asli, turut melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan kesejahteraan dan taraf hidup mereka.

Agropolitan Pekan, Runchang

Dalam usaha untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat Orang Asli, Projek Agropolitan Pekan di Runchang akan menyaksikan Pekan sebagai hab ternakan kambing biri-biri Dorper terbesar di Asia Tenggara menjelang 2020 dengan menghasilkan sehingga 25,000 ekor ternakan.

Mereka kini memiliki kemahiran sains veterinar dan untuk melakukan bedah siasat kepada haiwan itu. Hasilnya, peserta kini juga dapat memiliki kenderaan dan simpanan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Seorang peserta, Anuar Sulong, 23, berkata, projek itu meningkatkan pendapatan bulanan tetap meskipun tidak memiliki kelulusan akademik.

Katanya, sebelum ini dia hanya bekerja sebagai buruh di ladang tembikai dengan gaji hanya RM300.

“Sebelum ini, sukar saya untuk mendapat pekerjaan kerana saya bersekolah setakat darjah enam. Ketika itu, ibu bapa saya tidak lagi mampu menghantar saya ke sekolah,” katanya.

Seorang lagi peserta, Azmi Abu, 30 berkata, projek itu memberi rahmat kepadanya apabila ECERDC turut menyediakan rumah baharu itu dan peluang pendidikan kepada anaknya.

“Anak saya boleh mengikuti kelas tuisyen, manakala isteri saya boleh menyertai kursus separuh masa bagi mengisi waktu terluang,” katanya.

empower ECER

Program empower ECER umpamanya memfokuskan pembangunan modal insan bagi komuniti itu. Ia meliputi Program Latihan Akademik serta Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan bagi meningkatkan dan memperkasa masyarakat Orang Asli.

Sehingga kini, Program Latihan Akademik yang membabitkan murid Orang Asli dari tahun satu hingga enam di Raub, Cameron Highlands dan Pekan di Pahang, serta di Jeli, Kelantan sudah memberi manfaat kepada 1,425 pelajar Orang Asli.

Menerusinya, pelajar dilatih dengan kemahiran seperti memanafaatkan penggunaan peta minda, cara membaca lebih pantas dan kaedah mencatat nota secara kreatif dalam kelas. Hasilnya, ia merekodkan peningkatan signifikan dalam pencapaian murid. Tidak lagi hanya mengurangkan ketidakhadiran mereka di sekolah, ia meningkatkan penguasaan kemahiran asas menulis, membaca dan mengira (3M).

Sebagai contoh, Program ‘Super Camp’ di Sekolah Kebangsaan Runchang, Pekan pada 2013 membabitkan 36 murid Orang Asli melonjakkan pencapaian murid sehingga menerima anugerah pencapaian terbaik bagi peningkatan peratus kelulusan dari Pejabat Pendidikan Daerah Pekan. Lebih membanggakan, tiga muridnya mencatat keputusan 5A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013.

Bagi UPSR 2014, murid sekolah sama, Salizan a/l Sadan, 12, memperoleh 5A. Menyertai ‘Super Camp’ di sekolah itu pada tahun ini, dia dapat memanfaatkan pelbagai topik yang dipelajari sepanjang kem itu terutama teknik belajar sehingga muncul pelajar cemerlang.

Menurut Salizan, dorongan dan motivasi berterusan daripada tutor program kem itu memberi keyakinan kepadanya untuk menduduki peperiksaan berkenaan. “Apa yang saya impikan adalah untuk mengubah kehidupan keluarga. Tambahan pula, ayah, Sadan a/l Pendek sudah meninggal dunia dan saya dengan tiga adik-beradik kini tinggal bersama ibu dan nenek.

“Justeru, saya berterima kasih kepada empower ECER kerana pelbagai program yang dianjurkan telah banyak membantu saya sehingga muncul pelajar cemerlang,” katanya.

Bagi Noriah a/p Rosai, peserta Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER, kursus yang disertai memberikan pelbagai ilmu perniagaan termasuk perakaunan sehingga pendapatan bulanannya meningkat daripada hanya RM200 kepada RM950 sebulan, dengan membuka kedai runcit di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Pos Betau, Kuala Lipis.

Seorang lagi peserta program, Normadiah Selalu, 46, pula berkata, ilmu yang diperoleh menerusi program keusahawanan itu dimanfaatkan untuk mengembangkan perniagaan krafnya sehingga mampu membuka kedai di hentian R&R sama dan memasarkan produk ke Kuala Lumpur dan Perak.

“Daripada pendapatan hanya kira-kira RM150 sebulan dengan menghasilkan kraf di rumah, saya kini boleh berbangga apabila pendapatan saya kini mencecah RM900 sebulan. Kursus sama juga mengajar saya untuk meluaskan pasaran dengan bantuan rakan niaga di negeri lain,” katanya.

Latihan kemahiran turut mengubah nasib Rose Cassie a/p Ngah, 28, yang menjadi orang asli pertama memiliki salun kecantikan. Berbekalkan minat mendalam dalam bidang kecantikan, dia yang mengikuti kursus di Pusat empower ECER Jerantut kini meraih pendapatan sehingga RM900 sebulan.

Bagi Lemah Pendek, 46, pula, pengalaman meredah perjalanan selama kira-kira 45 minit dari Telemong, Bentong untuk ke bandar Bentong untuk mengikuti kursus solekan dan dandanan ternyata memberi pulangan lumayan apabila dia kini memiliki butik andaman pengantin. Daripada seorang suri rumah tanpa sebarang pendapatan, wanita itu kini meraih pendapatan sehingga RM1,800. Malah, berkat kesungguhannya, dia kini berjaya membeli Perodua MyVi.

Ladang Nanas Bersepadu Rompin (RIPP)

Dalam pada itu, ECERDC menerusi projek Ladang Nanas Bersepadu Rompin (RIPP) turut menyediakan pelbagai peluang keusahawanan dan pekerjaan kepada masyarakat Orang Asli di sekitarnya. Ia termasuk sebagai usahawan kontrak, pekerja ladang dan pemandu jentera di samping pekerja pentadbiran.

Sebuah koperasi juga telah ditubuhkan bagi menjaga kebajikan serta mentadbir kepentingan peserta dari kalangan masyarakat Orang Asli tempatan di dalam projek RIPP. Koperasi ini akan bekerjasama dengan Rompin Integrated Pineapple Industries Sdn. Bhd (RIPI), syarikat induk yang dilantik oleh ECERDC dalam mengusahakan penanaman nanas MD2 di kawasan seluas 250 ekar di kawasan projek. Nanas MD2 yang dihasilkan di kawasan koperasi akan dibeli oleh RIPI menerusi skim jaminan beli semula untuk dieksport ke luar negara. RIPI memiliki kontrak untuk mengeksport tanaman itu ke China, Eropah dan Timur Tengah.

RIPI dan koperasi turut bekerjasama dalam mengusahakan tanah di kawasan perkampungan Orang Asli seluas kira-kira 50 ekar. Ianya telahpun mengeluarkan hasil di mana nanas-nanas MD2 ini telahpun dipasarkan di Giant, Cold Storage dan MBG di bawah jenama ‘Rompine’.

Hasil nanas pertama daripada projek RIPP dijangka dapat dieksport pada Januari 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 8:52 AM