Oleh Noorazura Abdul Rahman

Padang Terap: Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) membina 5,173 rumah bagi golongan miskin di negeri ini sejak penubuhannya pada 1981.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,311 rumah dibina di 14 kampung tradisional, manakala 3,862 rumah adalah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di 44 penempatan Desa KEDA.

"Pembinaan rumah ini dibuat secara penempatan berkelompok dalam satu kawasan supaya dapat memudahkan penyaluran bantuan dan lain-lain kemudahan sosial bagi mencapai keharmonian dan perpaduan.

"Projek pembangunan rumah kampung seperti ini dilaksana KEDA sejak Rancangan Malaysia Keempat (RMK-4) lagi dan sehingga kini masih diteruskan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Taman Desa Pudina di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi KEDA, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Pegawai Daerah Padang Terap, Radzuan Osman.

Mahdzir berkata, seramai 23,775 penduduk golongan miskin menerima manfaat sejak program bantuan perumahan KEDA itu dilaksanakan.

Katanya, bagi projek pembinaan perumahan di Taman Desa Pudina, sebanyak 60 rumah dibina dengan kos keseluruhan RM9.5 juta.

"Projek ini dibina di tanah berkeluasan keseluruhan lebih dua hektar yang lengkap kemudahan infrastruktur iaitu jalan dalam penempatan, bekalan air, bekalan elektrik, loji rawatan kumbahan dan gelanggang futsal.

"Pembinaan Taman Desa Pudina adalah di bawah Projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bertujuan untuk membantu meningkat taraf kehidupan masyarakat miskin luar bandar.

"Selain itu, pembinaan taman bukan sahaja akan memajukan kawasan sekitar daerah Padang Terap, malah keselamatan penduduk juga akan lebih terjamin," katanya.

Beliau berkata, Taman Desa Pudina adalah lambang kejayaan projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang dilaksanakan KEDA dengan membangunkan penempatan baharu dilengkapi kemudahan asas serta kondusif.

Katanya, ia bertepatan misi KPLB yang berusaha memanfaat sepenuhnya sumber manusia dan ekonomi serta membangunkan kawasan luar bandar bagi mewujudkan persekitaran sosio ekonomi yang lebih berdaya maju sejajar Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030.

Mahdzir Khalid (tengah) bergambar dengan sebahagian penerima pada Majlis Penyerahan Peralatan Warung Desa di pejabat KEDA Kuala Nerang. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Mahdzir Khalid (tengah) bergambar dengan sebahagian penerima pada Majlis Penyerahan Peralatan Warung Desa di pejabat KEDA Kuala Nerang. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 5:51 PM