Koh Yao tidak pernah disenaraikan sebagai lokasi pelancongan di Thailand, namun pulau kecil dalam wilayah Satun itu sentiasa menerima kunjungan rakyat Malaysia.

Hampir tiada apa menarik bagi pulau yang didiami kira-kira 800 penduduk yang kebanyakan nelayan.

Walaupun tidak mempunyai produk pelancongan apatah lagi pusat hiburan, pulau yang mempunyai penduduk berketurunan Melayu itu tetap menggamit pengunjung.

Bagi penduduk Perlis, mereka lebih mengenali Koh Yao sebagai Pulau Panjang kerana kedua-dua nama itu membawa maksud yang sama.

Koh Yao adalah perkataan Thai yang dalam bahasa Melayu bermaksud Pulau Panjang.

Walaupun tiada pengangkutan khusus ke pulau itu, ia bukan halangan penduduk Perlis dan Koh Yao saling kunjung mengunjungi kerana kebanyakan bertutur bahasa Thai.

Bot nelayan milik penduduk menjadi nadi perhubungan kerana pelayarannya hanya sekitar 45 minit untuk menghubungkan pulau itu dengan Perlis.

Bagi 'kamnan' atau penghulu Koh Yao, Othman Daq, kehidupan di pulau itu amat mendamaikan dan penduduknya masih kekal dengan budaya gotong-royong dalam segala kegiatan.

"Di sini, kebanyakan penduduk jadi nelayan dan hidup miskin, tapi mereka kaya dengan keramahan dan kemesraan," kata kamnan berusia 55 tahun itu.

Dia yang mesra dengan panggilan 'Bang Man' menyifatkan Pulau Panjang penghubung silatulrahim antara wilayah Satun dan Perlis selain pintu masuk ke selatan Thailand.

Othman berkata, masjid yang tersergam di atas bukit pulau itu menjadi simbol keakraban hubungan Pulau Panjang dengan rakyat Malaysia kerana sumbangannya banyak dari penduduk negara ini.

"Kami masih mengharapkan dana untuk membolehkan kubur di pulau ini turut dinaik taraf dengan membina pagar di sekelilingnya. Kami berusaha selama 30 tahun, tapi tidak berupaya menyiapkan," katanya.

Pulau itu turut mempunyai sebuah sekolah rendah yang menempatkan kira-kira 100 pelajar selain klinik kecil.

Selain itu, pulau itu menikmati kemudahan bekalan elektrik sejak enam tahun lalu manakala bekalan air masih bergantung kepada sumber air hujan dan perigi.

Koh Yao begitu mendamaikan dan sesekali suara ombak mengusik kesunyian di samping bunyi enjin bot nelayan yang pergi atau pulang dari memburu rezeki di laut.

Sesekali keriuhan suara kanak-kanak yang bermain di pinggir laut bersatu dengan kenyaringan suara unggas yang sentiasa mengusik keheningan pulau itu.

Setiap kali rakyat Malaysia tiba di pulau seluas kira-kira 100 hektar itu, mereka akan disambut mesra oleh penduduknya.

"Ada yang singgah untuk melawat pulau, ada yang mengadakan kegiatan dan ada yang berkunjung ke rumah saudara-mara," katanya.

Seorang aktivis masyarakat Pulau Panjang, Salim Punkitak, 58, berkata, pulau itu mula diduduki lebih 200 tahun lalu dengan asalnya hanya beberapa rumah, tetapi kini bertambah kepada 168 rumah.

Salim berkata, untuk mendapatkan keperluan harian, dia menaiki bot ke Kuala Perlis selain bandar Satun.

Pulau Panjang menerima pembangunan apabila bekalan elektrik dibekalkan sejak beberapa tahun lepas oleh pentadbiran negara itu.

Amalan gotong-royong masih subur di pulau kecil itu dan jika ada majlis kenduri, semua penduduk dijemput memeriahkannya.

Pulau itu pernah menerima kunjungan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail Ogos lalu.

Bagi seorang penduduk Perlis, Zulkifli Jasin, 50, dia ke pulau itu bagi menziarahi penduduknya malah pernah mengiringi orang kenamaan ke situ.

Katanya, Koh Yao telah memesrakan Perlis dan wilayah Satun melalui sempadan laut dan kemesraan itu terjalin kukuh apatah lagi dengan bahasa pertuturan yang sama.

Walaupun Koh Yao tidak disenaraikan dalam peta pelancongan Thailand, pastinya pulau kecil itu telah tersenarai dalam peta hati penduduk Perlis dan wilayah selatan Thailand.-BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:00 AM