TUANKU Syed Faizuddin (tengah) beramah mesra bersama penduduk di Masjid Ban Puyu, Kampung Puyu, Satun.
TUANKU Syed Faizuddin (tengah) beramah mesra bersama penduduk di Masjid Ban Puyu, Kampung Puyu, Satun.
SUASANA tenang perkampungan nelayan di Satun, Thailand.
SUASANA tenang perkampungan nelayan di Satun, Thailand.
UMAT Islam Satun melakukan solat Tarawih.
UMAT Islam Satun melakukan solat Tarawih.
JUADAH yang di jual di bazar Ramadan.
JUADAH yang di jual di bazar Ramadan.
BERBUKA puasa beramai-ramai memang menjadi tradisi umat Islam di Satun.
BERBUKA puasa beramai-ramai memang menjadi tradisi umat Islam di Satun.
TUANKU Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen menaiki beca roda tiga setiba di Pulau Puyu, Satun.
TUANKU Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen menaiki beca roda tiga setiba di Pulau Puyu, Satun.
Oleh Aizat Sharif


Wilayah Satun satu daripada 76 wilayah di Thailand terletak di selatan negara itu. Wilayah yang bersempadanan dengan Perlis di Malaysia, Satun mempunyai 300,000 penduduk meliputi tujuh mukim.

Daripada jumlah itu, 80 peratus penduduknya beragama Islam dan tidak hairanlah kedatangan Ramadan disambut penuh kegembiraan malah setiap masjid di wilayah itu seperti Yala dan Pattani dipenuhi dengan pelbagai aktiviti keagamaan bagi mendapatkan keberkatan daripada Allah SWT.

Masjid juga terang-benderang dilimpahi lampu dan kerlipan lampu warna warni selain jualan makanan atau bazar Ramadan tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Malah, masjid di wilayah itu mengamalkan aktiviti berbuka puasa beramai-ramai selain melakukan solat Tarawih setiap malam. Ceramah agama dan bacaan al-Quran dapat didengari setiap hari terutama di masjid utama.

Harian Metro berpeluang mengunjungi wilayah itu ketika mengikuti rombongan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke Satun, baru-baru ini.

Ia sempena Lawatan Kerja Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi mengeratkan hubungan persaudaraan antara Perlis dan Satun yang wujud sejak sekian lama.

Penulis yang pertama kali mengunjungi wilayah itu mendapati budaya dan cara masyarakat Satun menyambut ketibaan Ramadan tidak jauh berbeza dengan umat Islam Malaysia.

Malah, masyarakatnya masih membudayakan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi antara mereka di samping meletakkan bahasa Thailand sebagai bahasa kebangsaan.

Jika ditinjau dari segi sambutan Ramadan di Satun, pasar atau bazar Ramadan yang menjual juadah berbuka puasa menjadi tempat paling meriah kerana ada menu atau makanan yang dijual itu hanya boleh diperoleh ketika Ramadan.

Justeru, umat Islam menggunakan peluang untuk membeli dan menikmati pelbagai jenis makanan yang dijual di bazar Ramadan.

Seorang graduan universiti, Akarawat Haura, 26, yang menetap di Kampung Guar, Satun, berkata pasar Ramadan adalah lokasi yang sering dikunjungi penduduk Islam setiap kali tibanya Ramadan.

“Seperti juga di Malaysia, Satun terkenal dengan pasar Ramadan tersendiri malah umat Islam dan penduduk tempatan datang untuk membeli juadah berbuka puasa terutama yang jarang dijual pada bulan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Masjid Ban Kuan, Kampung Guar sempena Program ‘Ihya Ramadan’ anjuran MAIPs dan Majlis Agama Islam Satun.

Akarawat yang pernah menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dalam jurusan Pengurusan, berkata antara juadah yang hanya boleh didapati ketika Ramadan di Satun ialah kuih dangai dan kuih kanum ko atau buah melaka.

“Saya percaya di Malaysia ia boleh didapati setiap hari dan bukan sekadar pada Ramadan, tetapi di sini juadah itu memang sukar ditemui pada bulan lain,” katanya.

Katanya, apabila tiba waktu berbuka, masyarakat Islam Satun tidak akan melupakan buah-buahan seperti cempedak, durian dan rambutan sebagai hidangan pencuci mulut.

“Di sini memang sudah menjadi kebiasaan buah-buahan seperti ini disediakan bersama juadah berbuka puasa,” katanya.

Menurutnya, setiap kali tibanya Ramadan, masjid di Satun tidak ketinggalan melakukan aktiviti gotong-royong menyiapkan bubur lambuk.

“Gotong-royong sudah menjadi kebiasaan di setiap masjid setiap kali tibanya Ramadan. Penduduk kampung akan bersama-sama bergotong-royong menyiapkan juadah bubur lambuk untuk dinikmati bersama dan dilakukan setiap masjid di setiap kawasan di daerah ini,” katanya.

Namun, berbeza pula dengan penduduk di Pulau Panjang, Satun kerana ketiadaan pasar Ramadan di pulau itu menyebabkan tradisi bertukar-tukar juadah berbuka puasa satu elemen bermasyarakat setiap kali tiba bulan mulia ini.

Peniaga kedai runcit Natrah Said, 62, berkata ketiadaan pasar Ramadan menyebabkan tradisi bertukar-tukar juadah ini diamalkan di pulau itu sejak dulu lagi.

“Di Pulau Panjang memang tiada pasar Ramadan kerana kawasan lapangnya pun terhad. Kami lebih senang bertukar-tukar juadah sesama sendiri, sekurang-kurang merapatkan ukhuwah selain dapat menikmati pelbagai jenis juadah,” katanya.

Katanya, Pulau Panjang mempunyai kira-kira 800 penduduk dan mereka saling mengenali, jadi tiada masalah untuk bertukar-tukar juadah untuk berbuka puasa.

Sementara itu, Gabenor Wilayah Satun Dejrath Simsiri berkata, sambutan Ramadan di wilayah itu adalah sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu penduduk tempatan terutama umat Islam.

“Kita dapat lihat kepelbagaian suasana menyambut bulan mulia ini, malah kita melihatnya sebagai prospek pelancongan kerana boleh mempromosi kebudayaan dan makanan masyarakat Satun kepada pelancong asing,” katanya.

Katanya, sudah menjadi dasar kerajaan tempatan di wilayah itu untuk menyediakan pasar Ramadan sebagai kawasan perniagaan bagi penduduk Satun apabila tibanya bulan puasa.

“Malah, ia bertambah meriah apabila menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 1:00 PM