BATUAN unik Hin Ta dan Hin Yai antara tarikan pelancongan di Pulau Lamai.
BATUAN unik Hin Ta dan Hin Yai antara tarikan pelancongan di Pulau Lamai.
Teks dan gambar Ramlah Zainal


Koh Samui, Thailand antara destinasi percutian yang masih terpelihara dan terkenal dengan pantainya yang putih bersih serta kebiruan air lautnya yang menjadi tarikan utama pelancong dari seluruh dunia.

Pulau terbesar di Kepulauan Ang Thong dan perairan Teluk Thailand itu turut memiliki tarikan sejarah, budaya dan alam semula jadi termasuk beberapa pulau lain seperti Koh Pha­ngan, Koh Tao, Taman Laut Angthong dan Koh Nang Yuan.

Bagi meneroka keindahan Koh Samui, syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia menerbangkan lima wakil media tempatan ke pulau peranginan terkenal itu, baru-baru ini.

Rombongan empat hari tiga malam itu diketuai Ketua Bahagian Komunikasi AirAsia Aziz Laikar dan Ketua Bahagian Pemasaran dan Komunikasi AirAsia X Fairuz Majid.

Aktiviti snorkeling di Coral Island

Kepenatan menempuh perjalanan udara, darat dan laut selama lima jam ke Koh Samui, hilang apabila melihat kejernihan air laut, keindahan karang dan kepelbagaian spesies ikan di Coral Island, Pulau Koa Tao.

Kami bertolak dari hotel ke Thong Krut Village menggunakan bot untuk aktiviti snorkeling.

Sesi penerangan membolehkan kami lebih memahami aspek keselamatan dan tidak sabar untuk melihat keindahan karang serta pelbagai spesies ikan.

Antara pantai yang popular di Koh Samui ialah Pantai Chaweng, Lamai dan Bophut. Selepas puas menikmati keindahan pantai, kami menikmati makan tengah hari di Koh Mudsum.

Selain pulau Koh Tao, Koh Nangyuan juga memiliki keindahan panorama yang cantik dengan kawasan sekitar yang dikelilingi pokok kelapa yang turut menjadi sumber pendapatan utama penduduk di Koh Samui.

Hari ketiga, kami ke Surat Thani untuk meneruskan perjalanan ke Tasik Chiewlarn atau Rajjaprabha. Kami menikmati makan tengah hari di restoran terapung.

Kami mengunjungi lokasi tarikan pelancong Hin Ta & Hin Yai di Pulau Lamai. Peluang bergambar di kawasan batuan unik akibat hakisan air laut dan fenomena alam yang digelar ‘Grandfather’ dan ‘Grandmother Rock’ cukup mengujakan.

Di sebelah malam, penulis sempat membeli-belah di Pasar Malam, Pulau Chaweng yang menjual pel­bagai barangan dan cenderahati untuk dibawa pulang.

Puas berjalan kaki, pengalaman urutan Thai dan memanjakan diri di spa sesuatu yang dinanti-nantikan apatah lagi harganya lebih murah.

Selepas seharian di luar, kami berehat di Hotel Diamond Plaza, Surat Thani sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

Ternyata, pengalaman di Koh Samui terus menjadi memori indah untuk dikenang seumur hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 12:51 PM