ZULFAHMI (tengah) bersama rakan sepasukan dan ahli keluarga meraikan kejayaan selepas tamat perlumbaan, semalam.
ZULFAHMI (tengah) bersama rakan sepasukan dan ahli keluarga meraikan kejayaan selepas tamat perlumbaan, semalam.
Ferzalfie Fauzi


Sepang: Gembira tetapi sedikit kecewa, itu perasaan yang menyelubungi pelumba negara Zulfahmi Khairuddin apabila hampir muncul juara kategori Supersport pada Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) sebelum melintasi garisan penamat di tempat kedua, semalam.

Pelumba Orelac Racing VerdNatura itu menggamatkan 10,000 penonton di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila memimpin hampir keseluruhan pelumbaan namun pada tiga pusingan terakhir dia terpaksa akur dengan kehebatan Ayrton Badovini (GEMAR Balloons-Team Lorini) yang muncul juara.

Badovini dari Itali mencatat masa keseluruhan 33 minit 22.944 saat, hanya dibezakan 0.050s dengan Zulfahmi, manakala tempat ketiga milik Gino Rea (GRT Racing Team).

Tempat kedua ternyata menggembirakan bekas pelumba Moto3 itu yang memulakan perlumbaan di petak kelima kerana ia adalah pencapaian terbaiknya dalam saingan WSBK dan menamatkan kemarau podium selepas empat tahun.

Kali terakhir dia merasai nikmat menaiki podium adalah dalam saingan 125cc Kejuaraan Motosikal Dunia pada 2012 apabila menduduki tempat kedua Grand Prix Valencia dan Malaysia.

Zulfahmi yang kini memperbaiki kedudukan keseluruhan ke tangga ke-10 dengan 40 mata berkata, walaupun agak kecewa kerana gagal memenangi perlumbaan namun tetap gembira kerana berjaya meraih podium pertamanya di WSBK.

“Di selekoh terakhir, saya menekan brek terlalu kuat berbanding pusingan sebelumnya dan saya hilang kawalan tayar depan yang menyebabkan saya tidak dapat berada di kedudukan sepatutnya.

“Bagi saya keputusan tangga kedua ini tidak terlalu bagus selepas saya mampu mendahului hampir keseluruhan pusingan perlumbaan.

“Apapun, saya gembira dapat meraih podium dan harap boleh memperbaiki lagi prestasi untuk perlumbaan seterusnya,” kata pelumba kelahiran Banting itu.

Sementara itu, Bavodini yang pada musim lalu beraksi bersama pasukan BMW Motorrad Italia SBK Team dalam kelas utama WSBK dan menggantikan pelumba asal Glenn Scott musim ini turut memuji persembahan Zulfahmi.

“Dia seorang pelumba yang bagus dan sangat laju, sukar untuk memintasnya. Kami saling pintas memintas di pusingan terakhir tapi ternyata tuah hari ini lebih memihak kepada saya,” kata Bavodini.

Pelumba Kawasaki Puccetti Racing, Kenan Sofuoglu masih lagi mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 96 mata diikuti rakan sepasukannya, Randy Krummenacher (79 mata) dan Jules Cluzel dari MV Agusta Reparto Corse di tempat ketiga (67 mata).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 8:56 AM