Khairil S Iswan


LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) sedang menilai segala pilihan supaya pengalaman yang dimiliki pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin (gambar) tidak disia-siakan terutama bagi membantu meningkatkan mutu sukan permotoran dua roda negara.

Begitupun Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, bekas pelumba Moto3 negara pada Kejuaraan Motosikal Dunia itu perlu membuktikan kemampuannya dulu pada pusingan terakhir perlumbaan Supersport di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Qatar, minggu ini.

“Untuk perlumbaan di Qatar, kami memang mengharapkan sesuatu daripadanya kerana ini bukan saja perlumbaan terakhir musim ini tapi perlumbaan yang terakhir kami membantunya,” kata Razlan ketika dihubungi, hari ini.

“Kami memang ada berjumpa selepas perlumbaan Grand Prix Malaysia minggu lalu dan berbincang mengenai perancangan dan hala tujunya selepas ini.

“Tahun depan, dia merancang untuk berlumba pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) tapi dia perlukan sesuatu yang istimewa, membuktikan dirinya lebih baik jika menaiki podium di Qatar kerana keputusan yang dibuat tahun ini tidak bagus.

“Tapi dengan kemampuannya, saya percaya dia boleh berlumba di sana (ARRC) cuma kami juga sudah merancang beberapa perkara untuknya supaya dapat menyumbang kepada SIC.”

Selepas 12 pusingan perlumbaan WSBK musim ini, Zulfahmi hanya mampu mengumpul enam mata dan menghuni tangga ke-34 keseluruhan, keputusan yang dianggap amat teruk bagi pelumba berpengalaman sepertinya.

Selepas mengakhiri kariernya di pentas Moto3, Zulfahmi menyertai WSBK tahun lalu dan menamatkan saingan di tangga ke-11 dengan 56 mata dan pencapaian terbaiknya adalah tangga kedua pada pusingan keenam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Kami belum pasti macam mana Zulfahmi boleh menyumbang untuk SIC dengan program yang kami ada atau sedang kami sedang rancang bagi tahun depan,” kata Razlan.

“Kami tidak lupa jasanya untuk sukan permotoran negara dan jika dia boleh memberikan manfaat, sudah tentu kami akan bantu tapi justifikasi perlu lebih kuat jika dia nak buat benda lain.

“Antaranya sebagai jurulatih untuk pelumba muda tapi kami perlu fikir sebaik-baiknya kerana alasannya perlu kukuh.”

Tahun lalu, Zulfahmi yang berlumba bersama pasukan Orelac Racing VerdNatura meraih tempat ketujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 7:58 PM