Aziman Rosdi

Johor Bahru: Penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Safee Sali berharap mereka dapat memberikan kegembiraan berganda buat rakyat Johor dengan merangkul kejuaraan Piala FA di Stadium Shah Alam Sabtu ini.

Menurut pemain berusia 32 tahun itu, semua pemain cukup bersemangat untuk menewaskan PKNS FC bagi membawa pulang trofi itu bersempena dengan sambutan Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang turut bermula minggu ini sehingga 17 Mei.

“Ini final kedua saya bersama Johor DT selepas 2013 apabila kami gagal di pentas final. Saya harap kali kedua ini kami dapat membawa balik piala semula ke Johor sempena hari Kembara Mahkota Johor. Jadi kita dapat meraikannya bersama-sama,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang Seri Gelam.

Walaupun kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama susulan kehadiran pemain import Argentina Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero namun bekas pemenang kasut emas Piala AFF 2010 itu tetap berusaha untuk menarik perhatian pengendali Mario Gomez.

Sentuhannya masih lagi dirasai kebelakangan ini termasuk ketika menjaringkan gol tunggal kemenangan ke atas Pulau Pinang pada lewat permainan dalam aksi Liga Super minggu lalu.

“Peluang untuk saya bermain agak terhad tapi saya tidak meletakkan ia sebagai tekanan kepada diri saya. Jurulatih lebih mengetahui pemain mana untuk diturunkan dalam sesuatu perlawanan dan jika saya diturunkan walaupun 5 atau 10 minit saya tak kisah. Yang penting saya dapat membantu pasukan mencapai matlamat.

“Saya belum berpuas hati dengan prestasi kerana minit perlawanan saya amat kurang. Saya tak dapat mencurahkan segala keringat dalam perlawanan.

“Mungkin nasib menyebelahi saya sejak kebelakangan ini untuk menjaringkan gol tapi itu bukan alasan untuk saya berpuas hati. Saya perlu kerja keras untuk merampas tempat dalam kesebelasan utama,” kata Safee.

Safee pernah memenangi gelaran Piala FA bersama Selangor pada 2009 dengan dia menyumbat gol kemenangan pada penentuan sepakan penalti 4-1 selepas permainan terikat 1-1 dalam aksi 120 minit permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 7:43 AM