AMRI, pemain paling berpengalaman dalam aksi final Piala FA.
AMRI, pemain paling berpengalaman dalam aksi final Piala FA.
Aziman Rosdi

Johor Bahru: Pemain berpengalaman Amri Yahyah sudah mendakap trofi Piala FA sebanyak tiga kali dalam kariernya namun ia masih belum lengkap jika Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tersungkur di pentas final menentang PKNS di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Tiga kejuaraan Piala FA bersama Selangor pada 2001, 2005 dan 2009 meletakkan penyerang berusia 35 tahun itu antara pemain legenda yang masih lagi beraksi.

Tiga penampilannya di kemuncak pertandingan kalah mati itu tidak pernah mengecewakan dan mungkin kali ini Harimau Selatan boleh menggunakan faktor ‘Amri’ untuk merangkul gelaran buat kali pertama selepas tumpas di tangan Kelantan 0-1 pada final 2013.

“Final ini istimewa bagi saya selepas beberapa musim bersama Johor DT, kami berjaya melangkah ke final Piala FA buat kali kedua. Jadi kali ini kami kena bagi yang terbaik untuk membawa Piala FA ke Johor.

“Jika berjaya, trofi ini akan melengkapkan kejayaan Johor DT selepas diambil alih oleh TMJ (Tunku Mahkota Johor) Tunku Ismail Sultan Ibrahim jadi saya harap Sabtu ini adalah penentuan koleksi piala buat TMJ, Johor DT dan seluruh rakyat Johor,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Padang Seri Gelam semalam.

Bagaimanapun, dengan kehadiran dua penyerang import Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz menyukarkan Amri untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama yang turut diintai seorang lagi pemain kebangsaan Safee Sali.

Namun faktor pengalaman pemain berasal dari Tanjong Karang, Selangor itu mungkin perlu diambil kira oleh pengendali Johor DT Mario Gomez.

Amri mengakui skuad Liga Super Johor DT memiliki kelebihan untuk mengatasi kelab Liga Perdana PKNS namun dia tetap mengambil pendekatan berhati-hati.

“Kelebihan memang ada tapi kami perlu lebih berhati-hati kerana pasukan ‘underdog’ ini selalu buat kejutan dalam perlawanan penting, saya harap pemain berhati-hati dan tidak leka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 8:12 AM