Daripada Aziman Rosdi di Singapura


Gara-gara aksi kurang menjadi ketika tewas 2-3 kepada Thailand kelmarin, penyerang Harimau Malaya Mohd Safee Sali menjadi mangsa kecaman penyokong tempatan.

Ramai peminat tidak berpuas hati dengan persembahan Safee yang beraksi selama 90 minit kelmarin dengan memberi kritikan pedas dalam media sosial.

Bagi pemain berusia 30 tahun itu yang beraksi buat kali pertama dalam kesebelasan utama selepas tiga bulan, dia mengharapkan penyokong tidak membuat kritikan melulu.

“Mereka (penyokong) juga perlu menghormati kerja orang. Bagi saya segelintir penyokong ini tidak menghormati apa yang kami lakukan.

“Memang kami kecewa dengan keputusan semalam (kelmarin) tapi kami sudah cuba sehabis baik,” katanya ketika ditemui semalam.

Berikutan tidak tahan dengan komen penyokong terhadapnya pada salah satu gambar yang dimuat naik dalam Instagram, Safee turut membalas komen itu dengan meminta supaya tidak memperlekehkan usaha pemain negara.

Safee yang gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim dalam Liga Malaysia musim ini serta kerap dilanda kecederaan berulang mengakui dirinya masih belum mencapai tahap terbaik.

“Saya sudah mendapat sedikit rentak kerana sebelum ini saya sudah lama tidak bermain. Agak kecewa kerana tidak dapat menjaringkan gol tapi jika saya masih diberi peluang, saya akan memberikan segalanya untuk pasukan.

“Saya percaya masih ada ramai lagi penyokong yang setia menyokong pasukan Harimau Malaya dan pemain akan cuba melakukan sesuatu bagi perlawanan terakhir menentang Singapura,” katanya yang muncul pemenang kasut emas ketika membantu Malaysia juara Piala AFF 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 6:13 AM