Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Percaturan jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez (gambar) untuk merehatkan pemain tonggak termasuk empat pemain import mengundang padah apabila mereka hanya seri 1-1 dengan PKNS FC sekali gus tersingkir awal daripada kempen Piala Malaysia kelmarin.

Bagaimanapun pengendali Argentina itu tidak kesal dengan kegagalan itu kerana berpuas hati dengan persembahan pemain diturunkan.

“Kami bermain baik dalam perlawanan tadi (kelmarin). Bagaimanapun keputusan seri ini tidak cukup untuk kami meneruskan saingan dalam Piala Malaysia.

“Pemain penyerang saya ada beberapa peluang menghasilkan gol tapi terlepas peluang itu. Mereka bermain tapi mungkin apa yang dipersembahkan itu tidak cukup,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Walaupun pihak pengurusan Johor DT tidak meletakkan keutamaan dalam pemburuan gelaran Piala Malaysia, kejayaan anak buah Gomez menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada perlawanan kelima Kumpulan C kembali menyalakan impian peminat mereka.

Bagaimanapun tanpa kelibat pemain import serta kapten Safiq Rahim dalam kesebelasan utama tidak mampu digalas dengan baik pemain lain dalam aksi terakhir menentang PKNS FC kelmarin.

Walaupun Safee Sali berjaya memadam jaringan awal Matias Hadwa pada minit ke-42 namun satu mata tidak cukup untuk mereka meloloskan diri ke pusingan seterusnya.

Bagi Gomez, beliau perlu mengambil risiko dengan merehatkan pemain utama kerana mahu memberi tumpuan kepada misi mempertahankan Liga Super dengan kelab Harimu Selatan itu yang kini menerajui liga bakal berdepan pencabar terdekat FELDA United Rabu ini.

“Kami ada pemain lain yang boleh beraksi dengan baik jadi kami boleh merehatkan pemain lain,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:03 AM