Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Bojan Hodak akan membuat rombakan kesebelasan utama apabila memulakan kempen Kumpulan F Piala AFC berdepan kelab dari India, East Bengal FC pada aksi di Stadium Larkin, malam ini.

Menurut Hodak, penyerang Safee Sali akan tampil mempertajamkan lagi barisan serangan yang tampak tumpul selepas tumpas 1-0 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seri 1-1 dengan Selangor pada aksi Liga Super.

Hodak berkata, kesungguhan Safee yang baru pulih daripada kecederaan menjalani latihan dan semangat begitu tinggi ditunjukkan untuk berada dalam kesebelasan utama harus dipuji dan sewajarnya diberi peluang.

“Saya kagum kesungguhan Safee menjalani latihan dan peluang diberikan untuk berada dalam skuad utama harus dibuktikannya menerusi aksi terbaik bagi membantu kami menang.

“Safee akan digandingkan bersama Jorge Pereyra Diaz atau Luciano Figueroa namun status Luciano sama ada diturunkan bergantung kepada sesi latihan terakhir selepas pemain itu mengalami kecederaan ketika menentang Selangor.

“Status Safiq Rahim sama ada boleh diturunkan hanya akan diputuskan pada sesi latihan terakhir selepas dia mengadu sakit lutut. Kemungkinan besar Jasazrin Jamaluddin akan ditukar beraksi di posisi tengah.

“Tapi, apa yang saya boleh sahkan Shakir Shaari dan Amirul Hadi Zainal tidak dapat bermain akibat kecederaan namun keadaan Junior Eldstal juga masih samar kerana belum pulih sepenuhnya,” katanya pada sidang media, semalam.

Hodak juga mengakui tidak mengetahui secara lebih terperinci kekuatan kelab dari India itu kerana hanya melihat corak permainan pasukan itu menerusi rakaman video ketika dibimbing Armando Colaco.

“Tapi, jurulatih baru dari Belanda Eelco Schattorie pasti mengubah corak permainan pasukan itu,” katanya.

Malah kata Hodak, walaupun Schattorie hanya seminggu membimbing pasukan itu, barisan pemain Johor DT perlu berwaspada dengan corak taktikal ditonjolkan kesebelasan pemain East Bengal.

“Kami melihat rakaman video ketika pasukan itu di bawah jurulatih lama namun saya yakin corak permainan pasukan itu akan berbeza apabila dibimbing Schattorie. Jadi kami harus berwaspada,” kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:10 AM