KEVIN (kiri) pada sidang media semalam.
KEVIN (kiri) pada sidang media semalam.
Aziman Rosdi


Petaling Jaya: Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menafikan hanya memikirkan soal keuntungan apabila menaikkan harga tiket final Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan PKNS FC di Stadium Shah Alam pada 14 Mei ini kepada RM50 serta menghapuskan jualan tiket untuk kanak-kanak.

Jika pada final edisi tahun lalu, tiket dijual dengan harga RM40 manakala 2,000 keping tiket berharga RM5 diperuntukkan kepada kanak-kanak, kali ini badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu mengambil pendekatan berbeza.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP Kevin Ramalingam berkata, mereka sudah mengkaji dengan teliti sebelum membuat keputusan itu dan percaya apa yang dilakukan itu demi memberi kepuasan kepada 70,000 penyokong yang bakal hadir ke stadium.

“Saya tahu pasti ada yang tidak setuju dengan keputusan ini tapi kami perlu berani melakukan perubahan sekarang. Dalam beberapa edisi kejohanan lalu, banyak tiket kanak-kanak yang tidak digunakan. Jadi kali ini kami membuat keputusan untuk tidak menjual tiket kanak-kanak.

“Kami faham penyokong sudah masuk ke stadium seawal jam 5 petang jadi kami perlu menyediakan pelbagai aktiviti seperti konsert bagi memastikan mereka tidak hilang ‘mood’ sementara menantikan perlawanan berlangsung,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA 2016 semalam.

Menurut Kevin, keputusan menaikkan harga tiket serta menghapuskan jualan tiket kanak-kanak turut dipersetujui wakil Johor DT dan PKNS FC dalam mesyuarat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 8:55 AM