PASUKAN BHP ceria bersama piala pusingan.
PASUKAN BHP ceria bersama piala pusingan.
Hamzah Osman


Langkawi: Pasukan BHP dari Kuala Lumpur mengungguli kategori terbuka lelaki dan wanita Karnival Futsal Terbuka Langkawi Piala Yang Berhormat Nor Saidi 2016 di Gelanggang Futsal Baron De Baron, di sini, semalam.

Kategori lelaki menyaksikan BHP menewaskan Dee Burger 2-1, manakala saingan kategori wanita menyaksikan BHP mengatasi Langkawi Travellers 4-0 pada aksi final.

Juara kategori lelaki membawa pulang RM5,000 manakala johan wanita RM2,000 selain masing-masing turut menerima piala pusingan.

Pasukan Terbaik Langkawi yang menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 dimenangi pasukan Salsa A.

Sebanyak 93 pasukan menyertai kejohanan kali kelima selama dua hari yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM17,000.

Hadiah kepada semua pemenang disampaikan Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah Nor Saidi Nanyan.

Nor Saidi berkata, penganjuran acara tahunan itu dijangka mendapat penyertaan lebih besar tahun depan apabila jumlah hadiah untuk juara keseluruhan ditingkatkan kepada RM10,000 berbanding RM5,000 tahun ini.

“Selain itu, ia juga medium untuk mencungkil bakat muda dan kejohanan ini akan diteruskan pada masa depan kerana mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 8:43 AM