PASUKAN Parlimen Kubang Pasu menjuarai Pertandingan Futsal Terbuka Piala Menteri Besar Kedah.
PASUKAN Parlimen Kubang Pasu menjuarai Pertandingan Futsal Terbuka Piala Menteri Besar Kedah.
Izzali Ismail


Alor Setar: Pasukan Parlimen Kubang Pasu mengungguli dua kategori iaitu Terbuka Lelaki dan Bawah 16 Tahun pada pertandingan futsal Terbuka Piala Menteri Besar Kedah di D’ Futsal Centre, Titi Gajah, baru-baru ini.

Bagi kategori Terbuka Lelaki, Parlimen Kubang Pasu berjaya menewaskan ZMFT Marketing (Kuala Lumpur dan Melaka) 2-1 untuk dinobat selaku juara.

Kejayaan itu membolehkan Parlimen Kubang Pasu membawa pulang RM6,000 berserta piala pusingan dan pingat, ZMFT Marketing menerima wang tunai RM3,000 manakala Paduka Jaya dari Perlis menerima wang tunai RM2,000 selepas menduduki tempat ketiga.

Bagi kategori B-16, satu lagi pasukan mewakili Parlimen Kubang Pasu turut cemerlang selepas mengalahkan FIZ Global pada final. Selaku juara, Parlimen Kubang Pasu membawa pulang wang tunai RM2,000, FIZ Global RM1,000 sementara RSL Titan yang menduduki tempat ketiga menerima RM500.

Sementara itu, dalam kategori wanita, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM2,000 diikuti BHP A dan REM FC dengan masing masing membawa pulang RM1,500 dan RM1,000.

Pertandingan selama dua hari itu berkonsepkan ‘endurance’ dan dianjurkan Pejabat Menteri Besar, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Puteri UMNO dan Belia 4B Kedah.

Ia mendapat sambutan luar biasa apabila 380 pasukan tampil sekali gus menjadi antara pertandingan terbesar pernah dianjurkan di Kedah.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah Datuk Shaiful Hazizy Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 9:07 AM