PASUKAN ZMSS Five bersama piala pusingan selepas menjuarai kategori lelaki di Gelanggang Futsal Baron De' Baron, Langkawi. FOTO STR/Hamzah Osman
PASUKAN ZMSS Five bersama piala pusingan selepas menjuarai kategori lelaki di Gelanggang Futsal Baron De' Baron, Langkawi. FOTO STR/Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Kehebatan pasukan ZMSS Five dari Johor sukar digugat lawan apabila mengungguli kategori lelaki Karnival Futsal Terbuka Langkawi Piala YB Nor Saidi 2017 selepas mengatasi Eimiril A 4-2 di Gelanggang Futsal Baron De' Baron di sini, hari ini.

Kejayaan itu membolehkan ZMSS Five membawa pulang wang tunai RM10,000 manakala Eimiril A terpaksa akur di tempat kedua bersama RM4,000.

Masing-masing turut menerima piala pusingan.

Pada separuh akhir, ZMSS Five mengatasi Wild Cat FT 2-1 manakala Eimiril A terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Wan CR B menerusi sepakan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga tamat permainan.

Bagi kategori wanita berlangsung di tempat sama semalam menyaksikan pasukan REMFC muncul johan apabila mengatasi BHP A menerusi sepakan penalti 4-3 selepas kedua-dua seri 2-2 sehingga wisel penamat.

Johan dan naib johan kategori wanita masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan RM1,000 berserta piala pusingan.

Sebanyak 87 pasukan dari dalam dan luar negara menyertai kejohanan kali kelima selama dua hari yang menawarkan hadiah keseluruhan RM24,000.

Hadiah kepada semua pemenang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan.

Nor Saidi berkata, penganjuran kali ini turut mendapat penyertaan dua pasukan dari Thailand dan masing-masing satu pasukan dari Afrika serta Yaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 4:47 PM