PELBAGAI pilihan rantai kepala boleh disesuaikan mengikut majlis.
PELBAGAI pilihan rantai kepala boleh disesuaikan mengikut majlis.
Zaitie Satibi


Biasanya, pemakai hijab mengenakan kerongsang atau pin pada tudung mereka sebagai aksesori pelengkap gaya. Namun, kini mereka mempunyai pilihan lain seperti rantai kepala bagi mencantikkan penampilan dan menyerlahkan keanggunan.

Rantai kepala daripada plat besi emas atau perak dengan motif seperti dedaun, bunga-bungaan dan abstrak serta tambahan batu permata memberikan pemakainya gaya yang elegan dan menawan umpama seorang ratu. Malah, aksesori ini juga mengekalkan gaya hijab apabila dipakai dengan cara tertentu.

Pengasas jenama Odda, Nadia Halim berkata, beliau menawarkan pelbagai jenis rekaan yang sesuai dipakai dengan tudung atau selendang kosong tanpa corak untuk digayakan pada majlis istimewa, makan malam dan hari perkahwinan.

“Wanita berhijab kini sangat mementingkan gaya mereka dan sentiasa ingin tampil menarik dan sempurna. Mereka akan menggunakan apa saja aksesori mengikut perkembangan fesyen semasa dan rantai kepala yang sering dipakai wanita Arab kini mula diterima pakai wanita di seluruh dunia walaupun tidak berhijab.

“Perhiasan kepala ini menjuntai dengan sempurna walaupun kepala tertunduk. Coraknya pula tidak sarat seperti yang biasa kita lihat dipakai pengantin perempuan dalam filem Bollywood. Gaya yang ringkas dan mudah ini tetap memberikan impak anggun kepada pemakainya,” katanya.

Rantai kepala daripada Odda dijual pada harga antara RM19.90 hingga RM29.90 boleh dilayari di Instagram, by_odda atau kunjungi gerai di Modvier, Bangsar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 5:11 AM