PANDORA Malaysia lancar koleksi musim luruh 2015 dengan 74 rekaan baru.
PANDORA Malaysia lancar koleksi musim luruh 2015 dengan 74 rekaan baru.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Wanita dan barang kemas seperti rantai tangan, rantai, anting-anting dan cincin sememangnya tidak dapat dipisahkan malah seakan-akan menjadi satu kemestian untuk tampil bergaya sekali gus menggambarkan ciri-ciri feminin setiap yang menggayakannya.

Malah elemen flora dan fauna yang disuntik juga menjadikan barangan kemas kelihatan lebih eksotik dan menyerlahkan penampilan wanita yang mementingkan gaya dan ketrampilan mereka.

Justeru, Pandora Malaysia tidak ketinggalan melancarkan koleksi musim luruh 2015 dengan memperkenalkan 74 rekaan baru, inspirasi daripada dedaun flora dan fauna yang direka dalam perak sterling yang elegan bersadur emas 14 karat.

Lebih menarik, legenda mistik phoenix yang sering diperkatakan dalam kisah dongeng atau legenda rakyat turut dicetuskan dalam bentuk rekaan perhiasan perak dihiasi dengan batuan berkilauan.

Bagi menyemarakkan musim baru yang silih berganti, trend motif dedaun musim luruh dan phoenix pada rekaan aksesori terbarunya ini menjadikan penampilan si pemakai tampak feminin.

Pengarah Urusan Pandora Malaysia Datin Seri Zarida Noordin berkata, jenama itu menawarkan satu daripada koleksi musim luruh iaitu siri Majestic Feathers yang rekaan berbentuk burung dengan helaian bulu direka begitu teliti dan berkualiti tinggi.

Beberapa siri koleksi lain diilhamkan daripada motif flora renda Lace Botanique yang direka daripada inspirasi renda sejak berzaman. Tradisi lama dikembalikan semula dengan hiasan daripada emas 14 karat ini.

Bagi mereka yang menggemari rekaan yang lebih minimalis tapi disuntik elemen kontemporari boleh memilih hiasan daripada siri Elegant Signature yang mengete­ngahkan motif bulatan tanpa sempadan. Tanpa permulaan dan penamat, bulatan menggambarkan kesatuan dan infiniti serta sentiasa menjadi simbol perlindungan.

Koleksi cincin dengan elemen alam semula jadi seperti dedaun, potongan vintaj dan set lapisan batuan dan mutiara dalam perak sterling didapati menerusi siri Delicate Nature yang pastinya dapat disuai padan dengan pelbagai busana.

Rantai tangan perak sterling yang menjadi tanda pe­ngenalan Pandora juga tidak ketinggalan menerima sentuhan terbaru untuk musim luruh dengan lebih kilauan dalam siri Embelishment Trend. Ringan dan fleksibel, rantai tangan penuh gaya ini dicipta daripada perak sterling dengan tambahan batuan zirkonia kubik sebagai pelengkap gaya buat wanita.

“Semua koleksi ini akan mula dipasarkan di butik Pandora seluruh negara mulai 27 Ogos depan dan saya yakin peminatnya pasti teruja dengan koleksi terbaru ini,” kata­nya pada majlis previu media koleksi terbabit di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Habib Jewels Datuk Seri Meer Habib dan Naib Presiden Pemasaran Pandora Asia Pasifik, Isabella Mann.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, layari www.pandoragroup.com atau memperoleh inspirasi menerusi laman www.pandora.net.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:01 AM