Aliff akui beliau dengan Dr Vida  tetap kawan. FOTO Surianie Mohd Hanif
Aliff akui beliau dengan Dr Vida tetap kawan. FOTO Surianie Mohd Hanif
Mazizul Dani

Kuala Lumpur: "Sebagai penaja saya akan memainkan peranan sebagai penaja. Saya tidak mahu 'lebih sudu daripada kuah'," kata Pengarah Urusan D'herbs, Datuk Aliff Syukri mengenai penajaannya kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Menurutnya, beliau dia tidak mahir dalam sukan bola sepak dan tidak akan campur tangan dalam pengurusan pasukan serta hanya akan ke stadium apabila diarahkan oleh KFA saja.

"Kalau saya buat pandai, 'over' sangat, kalau pasukan kalah, nanti saya dipersalahkan juga. Saya tauke kosmetik dan bola sepak bukan permainan saya. Tetapi dalam KFA, satu perkara yang dibincangkan adalah jawatan kepada saya.

"Mungkin saya pun tak ada masa untuk campur tangan dalam hal orang, nak minta benda pelik-pelik dalam bola sepak negeri Kedah. Saya akan lebih fokus kepada menjual produk kosmetik D'herbs," katanya kepada Harian Metro.

Beliau bagaimanapun menyerahkan semuanya kepada KFA untuk memperincikan bentuk kerjasama yang dijangka akan dimeterai dalam masa terdekat.

"Amaun RM30 juta pada saya banyak. Permintaan saya semua perkara yang rasional dan bukan pelik-pelik. Secara jujurnya sebagai seorang ahli perniagaan, tak ada benda yang datang dengan mudah dan percuma.

"Jadi semestinya ia menguntungkan kedua-dua belah pihak. Amaun itu bukan di'request' daripada pihak saya tetapi daripada pihak KFA. Jadi saya rasa dari segi amaun saya tiada masalah untuk beri tajaan," katanya.

Sementara itu, jutawan yang terkenal dengan tagline Terlajak Laris ini turut dibandingkan dengan pendekatan yang dibuat Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Dr Vida.

"Saya yakin sebenarnya apabila ingin menaja bola sepak negara ini, saya bukan nak bersaing, siapa lagi hebat, siapa lagi tinggi tetapi lebih kepada 'business opportunity' (peluang perniagaan).

"Dalam arena bola sepak sekarang ini ia dilihat semakin rancak, kita nak memeriahkan lagi industri bola sepak negara," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hubungannya dengan Dr Vida sangat baik walaupun ada pihak cuba membandingkan mereka .

"Kami berkawan dan saya masih bermesej dengan Dr Vida. Kalau orang api-apikan pun kami tetap kawan.

"Pada saya persaingan sihatlah. Konsep perniagaan kami ada sebahagiannya berbeza. Pada pendapat saya bagus ada persaingan macam ini," katanya.

Beliau juga yakin dengan pilihannya menaja pasukan Kedah kerana sudah membuat kajian mengenai prestasi pasukan berkenaan yang dijangka mampu berada dalam kedudukan teratas saingan Liga Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 4:05 PM