PIRLO (kanan) dipeluk rakan sepasukan selepas meledak gol kemenangan Juve.
PIRLO (kanan) dipeluk rakan sepasukan selepas meledak gol kemenangan Juve.

Milan: Andrea Pirlo dan Miralem Pjanic menghasilkan sentuhan magis bagi membantu Juventus serta AS Roma menang ke atas lawan masing-masing, sekali gus mengekalkan perbezaan tiga mata antara kedua-dua pasukan.

Pirlo meledak gol kemenangan pada masa kecederaan untuk membolehkan Juve menewaskan Torino, 2-1 pada pertemuan setempat di Turin.

Juve terpaksa beraksi 10 orang sebelum pemain tengah veteran itu melepaskan rembatan rendah dari luar kotak penalti untuk menceriakan penyokong di Stadium Juventus.

Torino tidak pernah menjaringkan gol sepanjang 12 tahun aksi membabitkan kedua-dua pasukan, tetapi Bruno Peres berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas 23 minit permainan. Juve mendahului hasil jaringan penalti Arturo Vidal.

Pemain Juve, Stephan Lichtsteiner dilayangkan kad merah pada minit ke-77, tetapi Torino gagal mengambil peluang berkenaan sebaliknya membenarkan tuan rumah menghasilkan gol kemenangan.

Sementara itu, pemain tengah Bosnia, Pjanic menjaringkan dua gol pada lewat permainan di Stadio Olimpico bagi membantu Roma mengatasi Inter Milan 4-2.

Walaupun tewas, Inter mempamerkan salah satu aksi terbaik musim ini dan menunjukkan kebangkitan drastik sejak dipimpin Roberto Mancini.

Bagaimanapun, Mancini diarah meninggalkan kawasan tepi padang apabila beliau membantah gol jaringan Pjanic. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 6:59 AM