PEMAIN Inter Milan, Lautaro Martinez diasak dua pemain  Udinese,  Marvin Zeegelaar dan Sandro. - FOTO Reuters
PEMAIN Inter Milan, Lautaro Martinez diasak dua pemain Udinese, Marvin Zeegelaar dan Sandro. - FOTO Reuters
AFP

INTER Milan terlepas peluang mengukuhkan cengkaman di tangga ketiga Serie A selepas seri tanpa jaringan menentang Udinese di tempat lawan awal pagi tadi sekali gus keputusan seri ketiga berturut-berturut buat Inter.

Skuad Luciano Spalletti mengatasi Atalanta dengan empat mata yang berkunjung ke Lazio malam ini dengan Roma satu mata di belakang sebelum mereka menentang Genoa.

Pertarungan merebut slot Liga Juara-Juara musim depan semakin sengit dengan hanya baki tiga aksi buat Inter.

Juventus yang muncul juara sudah pun layak dengan jurang 19 mata ke atas Napoli di tangga kedua yang akan melayan kunjungan Cagliari malam ini.

Inter tujuh mata di belakang Napoli yang menunggu mereka dalam masa dua minggu lagi di Naples dan menentang Chievo dan Empoli dalam dua perlawanan terakhir.

Skuad Spalletti kini seri dalam tiga aksi terakhir selepas seri 1-1 menentang Roma dan Juventus.

Dalam aksi di Udine, penyerang Inter, Mauro Icardi memanaskan bangku simpanan dan pemain Argentina, Lautaro Martinz bergandingan dengan Radja Nainggolan dan Ivan Perisic di barisan hadapan.

Tetapi penjaga gol Udinese, Juan Musso tangkas menyelamatkan gawangnya terutama percubaan Nainggolan pada babak pertama dan Martinez sejurus babak kedua bermula.

Keita Balde Diao terlepas peluang terbaik tiga minit sebelum tamat permainan apavila Musso menyelamatkan percubaan pemain itu dari jarak dekat sekali gus memberikan satu mata berharga kepada mereka yang kini lima mata di atas zon penyingkiran.

Torino masih lagi berpeluang mencipta sejarah dengan mencuri slot Liga Juara-Juara apabila menduduki tangga keenam selepas seri 1-1 menentang Juventus kelmarin dan kini hanya dua mata di belakang pasukan di tangga keempat Serie A, Atalanta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 8:37 AM