KARYA Cabaret dinobat sebagai persembahan terbaik bagi kategori Teater Muzikal.
KARYA Cabaret dinobat sebagai persembahan terbaik bagi kategori Teater Muzikal.
Sudirman Mohd Tahir


Anugerah Seni BOH Cameronian kali ke-13 yang berakhir malam kelmarin menyaksikan anak muda mendominasi trofi kemenangan.

Pengarah Kakiseni, Low Ngai Yuen yang juga penganjur acara ini menyifatkan ia sebagai satu perkembangan yang bagus apatah lagi pihaknya kini dalam rangka melahirkan lebih ramai bakat muda dalam industri seni tempatan.

“Pencalonan bagi setiap kategori adalah karya yang dipersembahkan tahun lalu. Daripada 205 persembahan, kami menyenarai pendek 89 karya untuk dinilai.

“Tahun ini, kami sekali lagi mendapat dana daripada Jabatan Kesenian Kebudayaan Negara (JKKN) bagi membantu melancarkan penganjuran anugerah ini,” katanya.

Namun, Yuen berpendapat kebanyakan karya yang dihasilkan sepanjang tahun lalu belum memenuhi tahap yang digariskan.

“Perkara ini bukan disebabkan peruntukan dana semata-mata, tetapi seni dan persembahan itu tidak dapat diperkenalkan sepenuhnya di peringkat sekolah.

“Malah kurangnya pendedahan awal membuatkan sebilangan pelajar yang menceburi bidang ini bermula agak lambat iaitu ketika melanjutkan pelajaran.

“Bagaimanapun, usaha memperkenalkan seni dan persembahan tetap diteruskan dan kami menyasarkan 95 sekolah berbanding 37 sekolah pada tahun lalu,” katanya.

Sambung Yuen, apa yang dilakukan Kakiseni bukan sahaja mahu mencari dan membentuk bakat baru, tetapi juga memberi kesedaran kepada khalayak mengenai seni serta persembahan membabit­kan budaya di Malaysia.

“Daripada keseluruhan pencalonan, kali ini ia didominasi orang baru yang tampil dengan skrip dan idea segar.

“Ramai penggiat teater terutama golongan remaja bergerak secara bebas.

“Walaupun persembahan mereka tidak dicalonkan atau dinilai, kualiti yang dipamerkan mereka sangat bagus,” katanya.

Anugerah ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu tarian, muzik, teater muzikal dan teater.

Bagi tarian, empat kategori dipertandingkan, muzik (tujuh), teater muzikal (lapan) dan teater mempertaruhkan (lima).

Setiap kategori turut diwujudkan Anugerah Pilihan Penonton Kakiseni apabila undian dibuka secara online bermula 15 April sehingga 22 April lalu.

Pemenang bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi.

Bagi pemenang Anugerah Pilihan Penonton Kakiseni kategori teater, Anomalist Production yang mempersembahkan Teater Bangsa: Anak Kecil Main Api, kejayaan itu adalah pencapaian terbesar mereka.

“Produksi kami baru ditubuhkan setahun lalu. Tidak sangka, karya ini berjaya memikat hati penonton dan seterusnya memenangi kategori ini.

“Setiap kali karya dipentaskan kami tidak menyasarkan sebarang pengiktirafan sebaliknya ia lebih kepada mahu memartabatkan seni persembahan teater,” kata Nur Hanisah Othman selaku penerbit teater itu.

Hanisah berkata, pasukannya bercadang mempersembahkan naskhah itu ke pentas lebih besar, namun masih mencari waktu sesuai.

Teater itu dipersembahkan di Damansara Performing Art Centre (DPAC) pada 18 sehingga 20 September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 6:02 AM