Nama Sherry Alhadad, 33, mula meniti dari bibir ke bibir apabila berganding dengan Zulin Aziz dan Awal Ashari dalam program sensasi Melodi dan bual bicara Diva-Kelakarama.

Lebih dikenali sebagai pelawak dan pengacara, hakikatnya kerjaya seninya bermula di pentas teater. Ketika itu dia menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) apabila menjayakan teater Atap Genting Atap Rumbia arahan Marlia Musa.

Teater juga umpama makanan buat dirinya dan dia sering tampil dalam naskhah berat. Antaranya teater Mak Dara Nyonya memegang watak Nyonya pada 2011 dan Nyonya & The Gang (2012).

Bekerjasama dengan pengarah Rosminah Tahir, Sherry berpeluang berkongsi pentas dengan Misha Omar dan Amy Mastura dalam beberapa siri pementasan serupa.

Sherry turut membintangi teater Asramara All Stars bersama Sharifah Amani dan Siti Saleha. Projek teater paling menonjol adalah Projek Disko Baldi (PDB) bersama Redza Minhat, Iedil Putra, Sharmainie Othman dan Tuan Faisal.

Ia juga membawa kenangan manis buat dirinya kerana memenangi Anugerah Pilihan Penonton Kakiseni kategori teater pada majlis Anugerah Seni Boh Cameronian ke-10.

Sherry antara penggiat teater yang menjayakan pementasan PDB Dreams (2013), PDB Muzikal, Boleh Tinggi Lagi (2014). Kumpulan itu turut diundang 8TV untuk menerbitkan rancangan serupa sebanyak 13 episod.

Mungkin ramai tidak tahu, anak saudaranya Sharifah Haslinda dan Sharifah Shahirah lebih dahulu menceburi bidang seni dan lebih dikenali sebagai pelakon kemudian menyusul Sharifah Sakinah.

Dia dibawa ke dunia lakonan menerusi kaca TV oleh pengarah Sharulezad Mohamamedin menerusi telefilem Sutun pada 2006 kemudian muncul dalam telefilem Rampas, Seratus Harijadi, Nostalgila, sitkom Oh My English! serta drama Misiku Kuza.

Saiz badannya juga sering dijadikan bahan bualan tetapi ia tidak menghalang Sherry mencipta nama dan kenali sebagai pelakon, pelawak serta pengacara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:02 AM