Susunan Michelle Gun

Tokoh legenda seni pertahanan diri China, Wong Fei Hung kembali semula ke layar perak dalam filem Rise Of The Legend arahan Roy Chow.

Mengisahkan sekumpulan kongsi gelap melakukan kegiatan penyeludupan manusia, filem itu menampilkan pelakon Eddie Peng sebagai wira filem klasik Cina berkenaan.

Ia turut dijayakan barisan bintang Wang Loudan, Jing Boran serta pelakon hebat Sammo Hung yang juga produser filem berkenaan.

Sebelum memulakan penggambaran, Peng dikehendaki menjalankan latihan intensif seni pertahanan diri serta mempertingkatkan lagi kemahiran berlakon bagi menjayakan wataknya sebagai Wong Fei Hung.

Mengulas mengenai pembikinan filem Rise Of The Legend, Hung berkata, watak legenda itu pernah dijayakan pelakon Kwan Tak Hing dan Jet Li.

"Kisah sejarah mengenai Wong Fei Hung panjang dan Kwan pernah berlakon watak sebagai legenda itu dalam lebih 100 filem. Kemudian, Jet Li diberi kepercayaan untuk memegang watak itu.

"Justeru, kami berharap Peng dapat menaikkan legenda ini dengan cara tersendiri," katanya.

Hung yang juga pakar seni pertahanan diri berkata, pihak produksi sedang menilai sama ada Peng layak menjadi generasi ketiga Wong Fei Hung.

"Kami belum pasti sama ada Peng akan berjaya menjadi pelapis baru legenda itu namun kami memberi nafas baru untuk watak Wong Fei Hung," katanya.

Memegang watak sebagai ketua kongsi gelap Black Tiger, Hung memuji Peng kerana sikap baik dan ingin belajar.

"Biarpun Peng anak angkat saya tetapi dia tidak mudah mengalah apabila terpaksa melakonkan babak bergaduh selama beberapa jam.

"Sebagai pelakon seni mempertahankan diri perlu gigih membuat latihan. Sepanjang penggambaran, saya turut memberi tunjuk ajar kepada Peng," katanya.

Sementara itu, Tony Leung Ka-fai yang memegang watak sebagai bapa Wong Fei Hung berharap penonton dapat menerima lakonan Peng yang menggambarkan wira itu daripada sisi berbeza.

"Hari pertama di set penggambaran, saya berkesempatan menyaksikan lakonan Peng. Saya terkejut apabila melihat lirikan 'jahat' di matanya sehingga membuat saya seram sejuk.

"Dia betul-betul menjiwai watak biarpun babak itu tidak begitu dramatik. Saya berpendapat dia sudah melakukan yang terbaik dan berpuas hati dengan lakonannya," katanya.

Sinopsis

Pada zaman Dinasti Qing, kumpulan kongsi gelap The Black Tiger geng secara aktif menjalankan kegiatan penyeludupan manusia di pelabuhan Guangzhou Pearl River.

Wong Fei Hung menganggap kegiatan itu satu jenayah kejam yang tidak boleh dimaafkan.

Dengan bantuan beberapa rakan Fei Hung, mereka merancang untuk membuat serangan hendap terhadap kumpulan itu dan menyelamatkan mangsa.

Mereka berharap bantuan itu membolehkan penduduk tempatan memiliki masa depan lebih baik.

Itulah permulaan kepada Fei Hung untuk menaikkan namanya sehingga menjadi legenda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:00 AM