REZA (kiri) melakonkan watak pemuda dari Azerbaijan dalam filem Layla Majnun.
REZA (kiri) melakonkan watak pemuda dari Azerbaijan dalam filem Layla Majnun.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Indonesia, Reza Rahadian mengakui berdepan cabaran besar apabila perlu berdialog dalam bahasa Azerbaijani ketika melakonkan watak sebagai Samir dalam filem terbaru lakonannya, Layla Majnun.

Reza berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerana mendapat bantuan daripada pelajar-pelajar di Azerbaijan, yang mampu bertutur dalam Bahasa Indonesia.

"Satu cabaran yang sukar adalah untuk belajar bahasa Azerbaijani. Bukan saja saya perlu tahu sebutan, tetapi intonasi dan cara untuk menggunakannya dalam dialog.

"Namun, semuanya dipermudahkan dengan adanya bantuan daripada pelajar-pelajar Azerbaijan yang belajar dalam kursus pengajian Bahasa Indonesia," katanya dalam temubual bersama Harian Metro.

Menurutnya, sepanjang proses penggambaran, pelajar itu banyak membantu pasukan produksi.

"Sepanjang penggambaran berlangsung, kami ditemani pelajar-pelajar ini. Jadi, harapan saya semoga hasilnya memuaskan," katanya.

Dalam filem arahan pengarah Monty Tiwa itu, Reza memegang watak Samir yang juga pelajar dari Azerbaijan, yang menuntut dalam kursus kajian bahasa dan budaya Indonesia.

Selain Reza, filem yang akan ditayangkan di saluran Netflix bermula esok itu juga membariskan barisan pelakon hebat antaranya Acha Septriasa dan Baim Wong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 5:03 PM