HM Digital

Petra Jaya: Calon BN, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg ditentang wakil PKR, Mohamad Salleh Shawkatali, di kerusi DUN Satok.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dr Saadiah Abdul Samad berkata, selepas tempoh penamaan calon tamat, hanya dua calon berkenaan menyerahkan borang pencalonan, pada kira-kira 9 pagi.

Abang Johari mempertahankan kerusi DUN berkenaan yang dimenangi beliau sejak 1981.

Terdahulu, Abang Johari menyerahkan borang pencalonnya dengan diiringi Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Ketika ditemui selepas selesai proses penanman calon, Abang Johari berkata, parti lawan khususnya PKR meletakkan ramai calon bertanding hanya kerana mahukan angka konon bagi menunjukkan parti itu kuat dan diterima rakyat Sarawak.

Menurutnya, sebab itu mereka meletakkan calon bertanding di antara 30 hingga 35 calon bertanding pada PRN kali ini.

Beliau berkata, biarpun berdepan calon muda PKR kali ini tetapi tetap yakin menang besar kali ini kerana hanya BN yang mampu membawa pembangunan di Satok khususnya dan Sarawak secara keseluruhan.

"BN sendiri menampilkan ramai calon muda kali ini. Jadi, isu berdepan dengan calon muda PKR tidak timbul kerana pegawai saya sendiri ramai orang muda, malah saya sendiri pun muda lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 11:10 AM