ABANG Johari (kanan) tiba di Pusat Penamaan Calon DUN N.26 Gedong di Dewan Masyarakat Gedong, Kampung Gedong. FOTO Aizuddin Saad
ABANG Johari (kanan) tiba di Pusat Penamaan Calon DUN N.26 Gedong di Dewan Masyarakat Gedong, Kampung Gedong. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Haizan Hasam


Gedong: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berdepan cabaran tiga penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong.

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu ditentang calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sarbini, calon Parti Amanah Negara (AMANAH) Kamal Bujang dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Tomson Ango.

Senarai calon yang layak bertanding diumumkan oleh Pengawai Pengurus Pilihan Raya DUN Gedong, Abdul Khalid Manap pada 10.20 pagi.

Ini merupakan kali pertama Abang Johari bertanding di DUN Gedong selepas berpindah dari DUN Satok yang dimenanginya selama lapan penggal berturut-turut.

Beliau diberi laluan oleh penyandang DUN Gedong, Datuk Naroden Majais yang bersara dari politik.

Pemerhati politik menjangkakan Abang Johari tidak berdepan laluan sukar kerana DUN Gedong adalah kubu kuat GPS.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2016, Naroden menang di DUN Gedong dengan majoriti 3,365 undi apabila meraih 4,064 undi menewaskan calon AMANAH, Rapelson Richard (699 undi) dan calon Bebas, Uja Bansi (396 undi).

DUN Gedong merupakan kerusi luar bandar yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Bandar Raya Kuching dengan perjalanan yang mengambil masa satu jam 30 minit

Kerusi yang diwujudkan melalui persempadan semula DUN Simunjan pada 2016 memiliki jumlah pengundi yang jauh lebih kecil berbanding DUN Satok namun mempunyai peratusan pemilih bumiputera yang tinggi.

Sebanyak 62 peratus daripada pengundi DUN Gedong terdiri daripada masyarakat Melayu/Melanau manakala 37 peratus lagi adalah Bumiputera bukan Islam dan baki satu peratus lagi ialah pengundi Cina.

Sebaliknya, DUN Sarok yang terletak dalam kawasan bandar di bawah Parlimen Petrajaya mempunyai 70 peratus pengundi Melayu/Melanau, 22 peratus Cina dan tujuh peratus lagi bumiputera bukan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 10:37 AM