ABANG Johari (kiri) dan Mohd Naroden (kiri) PADA Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Teranggas-Gedong, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
ABANG Johari (kiri) dan Mohd Naroden (kiri) PADA Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Teranggas-Gedong, hari ini. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Samarahan: Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg membayangkan beliau kemungkinan akan bertukar kawasan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak yang akan datang.

Abang Johari yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Satok berkata, beliau menerima permintaan daripada beberapa kawasan yang mahukan beliau bertanding di kawasan tertentu.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, beliau bersedia mempertimbangkan permintaan yang datang lebih dari satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Katanya, beliau akan mengadakan solat hajat meminta petunjuk Allah sebelum membuat sebarang keputusan.

"Saya akan membincangkannya (permintaan pengundi dari beberapa kawasan), tetapi saya sendiri belum tahu sama ada akan berpindah kawasan atau tidak.

"Sebagai Ketua Menteri, saya melihat semua kawasan... Gedong kah, Simunjan kah atau Satok.

"Ada permintaan, lebih dari satu kawasan. Ditolak susah, nak diterima pun susah juga. Jadi saya akan pertimbangkan dan akan buat keputusan saya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Jalan Teranggas-Gedong di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais dalam ucapannya membayangkan untuk berundur dan mempelawa Abang Johari untuk bertanding di kawasan itu.

Abang Johari yang memberi maklum balas terhadap pelawaan itu berkata, beliau menghargainya dan bersedia untuk meneliti bertanding di kawasan DUN Gedong.

"Naroden terlalu awal beritahu mahu menarik diri sebagai calon. Terima kasih kerana memberi ruang kepada saya.

"Tetapi saya kena berbincang dengan penduduk Satok dahulu dan beritahu mereka (apa alasan berpindah kawasan)," katanya.

Beliau adalah penyandang DUN Satok yang dimenanginya selama sembilan penggal berturut-turut bermula pada Pilihan Raya Negeri tahun 1981, 1983, 1991, 1996, 2001, 2006, 2011 dan 2016.

Sementara Mohd Naroden pula adalah Adun Gedong yang dimenanginya pada 2016.

Ia adalah kawasan baharu hasil persempadanan semula sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) pada 2016.

Sebelum itu, beliau adalah Adun Simunjan sejak 1991.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 2:05 PM