ABANG Johari akan bertanding di Dun Gedong. FOTO Bernama
ABANG Johari akan bertanding di Dun Gedong. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuching: Keputusan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Abang Openg untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Gedong disifatkan sebagai kehilangan yang besar bagi masyarakat di Dun Satok.

Penghulu Kampung No 3 dan 4, Mohd Handeri Hashim, 71, berkata, Abang Johari mempamerkan pencapaian yang baik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Satok bagi tempoh lebih 40 tahun.

"Sejak mula berkecimpung dalam bidang politik, Satok adalah kawasan Dun pertama diwakilinya yang dipertahankan sehingga kini dan sepanjang tempoh itu juga, beliau sudah serasi dengan masyarakat.

"Apabila beliau mengumumkan tidak bertanding di Satok, ada juga rasa terkilan kerana kami mahu beliau kekal di Dun ini.

"Namun, kami terbuka dengan keputusan ini kerana merasakan beliau mahu membangunkan kawasan itu seperti mana di Satok," katanya ketika ditemui di Kampung No 3, di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk di Kampung No 3, Zaleha Arfan, 59, berkata, dia amat menghargai khidmat dan pembangunan yang diberikan Abang Johari sepanjang perkhidmatannya di kawasan Dun berkenaan.

"Kita lihat ada banyak pembangunan dibawa oleh beliau termasuk pembinaan Jambatan Bintangor yang bakal menjadi mercu tanda kawasan ini.

"Malah, beliau tidak pernah lekang memberikan bantuan yang diperlukan oleh masyarakat dalam setiap aspek. Melihat kepada jasa Abang Johari di Dun ini, pastinya ada rasa sedih apabila beliau mengumumkan tidak lagi bertanding sini.

"Bagaimanapun, peranan beliau sebagai Ketua Menteri adalah penting untuk membangunkan kawasan Gedong yang diisytiharkan sebagai daerah baru-baru ini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk di kampung sama, Seliah Zain, 55, berkata, pihaknya meletakkan harapan tinggi terhadap Timbalan Setiausaha Agung GPS, Datuk Ibrahim Baki yang diletakkan sebagai calon bertanding di Dun berkenaan.

"Beliau (Ibrahim) bukan individu asing di Dun Satok memandangkannya adalah penduduk asal di kawasan ini iaitu di Kampung Muhibbah.

"Besar harapan kami supaya pembangunan yang diusahakan Abang Johari akan diteruskan oleh Adun yang akan memenangi kerusi di kawasan ini," katanya.

Semalam, Abang Johari mengumumkan beliau akan bertanding di Dun Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, manakala kerusi disandangnya selama sembilan penggal sejak 1981 di Dun Satok pula akan ditandingi Ibrahim.

Ibrahim adalah antara lapan muka baharu yang ditampilkan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam pilihan raya kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 4:18 PM