Nurul Hidayah Bahaudin


Gedong: Penduduk di sini meletakkan harapan tinggi untuk melihat kawasan itu membangun dalam pelbagai aspek seperti yang dinikmati penduduk di kawasan Satok.

Imam Masjid Al-Kawsal Kampung Gedong, Ali Sudin Sulong, 68, berkata, penduduk kampung menyambut baik keputusan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Abang Openg untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember ini.

"Kami berasa gembira dengan keputusan Abang Johari yang juga 'orang besar' dalam Sarawak untuk bertanding di DUN ini.

"Kami harap dengan keputusan itu akan membawa perubahan yang baik untuk penduduk Gedong dari segi pembangunan selaras dengan status kawasan ini sebagai daerah," katanya.

Ali berkata, penduduk Gedong yang semuanya berstatus Bumiputera juga mengharapkan dengan pembangunan yang akan dilaksanakan di daerah itu akan membantu ekonomi setempat.

"Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gedong iaitu Datuk Naroden Majais sudah banyak berjasa kepada kami dengan penyediaan infrastruktur di kawasan ini memandangkan beliau juga adalah penduduk asal.

"Justeru, besar harapan kami untuk melihat pembangunan yang akan dibawa oleh Abang Johari di kawasan ini nanti," katanya.

Penduduk di Kampung Perintah Masjid, Jaafar Mustapha, 67, pula berkata, dia mempunyai perasaan bercampur baur mengenai perkara itu.

"Saya ada rasa sedih kerana Naroden tidak lagi bertanding di kawasan ini selepas enam penggal menyandang kerusi DUN Gedong kerana banyak jasa beliau terhadap penduduk terutama dari segi infrastruktur.

"Sejak dilahirkan di sini, saya lihat ada banyak perubahan ketara yang boleh dilihat dari segi pembangunan seperti bekalan elektrik dan air selain infrastruktur lain termasuk sekolah serta masjid.

"Gedong yang dulunya hanya kampung terpencil sudah membangun dengan pelbagai infrastruktur yang dibawa oleh Naroden sepanjang khidmatnya sebagai Adun," katanya.

Abang Johari ketika keluar selepas menyerahkan borang penamaan calon di Pusat Penamaan Calon DUN Gedong di Dewan Masyarakat Gedong semalam. Foto Aizuddin Saad
Abang Johari ketika keluar selepas menyerahkan borang penamaan calon di Pusat Penamaan Calon DUN Gedong di Dewan Masyarakat Gedong semalam. Foto Aizuddin Saad

Jaafar yang juga seorang pesara berkata, dia juga berasa berbesar hati dengan keputusan Abang Johari untuk bertanding di DUN Gedong kali ini.

"Kami berbangga dan berbesar hati apabila beliau (Abang Johari) memilih untuk mewakili Gedong dengan harapan beliau akan membawa lebih banyak pembangunan di kawasan ini.

"Besar harapan penduduk untuk melihat Gedong bertambah pesat selepas ini dengan Ketua Menteri sebagai wakil rakyat kami," katanya.

Sebelum ini, Abang Johari mengumumkan beliau akan bertanding di DUN Gedong pada PRN Sarawak ke-12, manakala kerusi disandangnya selama sembilan penggal sejak 1981 di DUN Satok pula akan ditandingi oleh Ibrahim.

Abang Johari ditentang calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Mohamad Sofian Fariz Sarbini, wakil Parti Amanah Negara (Amanah) Kamal Bujang dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Tomson Ango.

Ia adalah kali pertama Abang Johari bertanding di DUN Gedong selepas berpindah dari DUN Satok yang dimenanginya selama lapan penggal berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 10:17 AM