Kuala Lumpur: Hasrat Malaysia untuk bangkit daripada kekalahan kepada Indonesia kelmarin tidak kesampaian apabila mereka tumpas 1-3 kepada Thailand dalam saingan Piala Axiata yang berlangsung di Kelapa Gading, Jakarta semalam.

Bagaimanapun, peluang untuk mara ke separuh akhir masih lagi terbuka apabila mereka dirasakan tidak mempunyai masalah mencatat kemenangan dalam baki dua perlawanan bertemu Eropah (hari ini) dan Filipina (esok) untuk mencari kedudukan empat terbaik daripada lapan pasukan.

Malaysia bermula cemerlang dalam aksi perseorangan lelaki apabila Liew Daren mencatat kemenangan mudah ke atas Tanongsak Saensomboonsuk 21-18, 21-9 dalam perlawanan yang berlangsung selama 31 minit.

Kedudukan kembali terikat 1-1 apabila perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi diberi pengajaran berguna oleh juara dunia 2013, Ratchanok Intanon apabila tewas 6-21, 19-21.

Kebangkitan diharapkan melalui gandingan beregu lelaki, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong tidak menjadi apabila tewas 13-21, 15-21 kepada Maneepong Jongjit-Nipitphon Puangpuapech dalam perlawanan berlangsung 27 minit.

Mata ketiga Thailand pula diraih melalui beregu campuran apabila gandingan pemain negara, Tan Aik Quan-Ng Hui Lin tumpas 19-21, 15-21 kepada Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam.

Sementara itu, Daren yang menduduki ranking 86 dunia, mengakui bermain cemerlang walaupun bertemu pemain Tanongsak yang sedang meningkat naik.

“Saya lihat dia (Tanongsak) tidak berada pada tahap sebenarnya, jadi secara keseluruhan perlawanan itu cukup mudah buat saya,” katanya yang memegang rekod 3-2 selepas perlawanan semalam ke atas pemain nombor 27 dunia itu.

Hanya empat pasukan terbaik akan mara ke separuh akhir yang akan berlangsung di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:01 AM