AKSI Tang Jie (kiri) dan Ee Wei ketika menentang pemain Indonesia, Rinov Rivaldy dan Pitha Haningtyas Mentari pada pusingan pertama Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
AKSI Tang Jie (kiri) dan Ee Wei ketika menentang pemain Indonesia, Rinov Rivaldy dan Pitha Haningtyas Mentari pada pusingan pertama Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: Hari kedua Masters Malaysia menyaksikan tiada pasangan Malaysia dalam acara beregu campuran berjaya mara ke pusingan kedua selepas empat wakil negara yang turun pada perlawanan hari ini tewas kepada lawan masing-masing.

Dalam aksi yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil itu menyaksikan gandingan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa akur selepas tewas kepada wakil dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 20-22, 21-11, 15-21 dalam perlawanan yang memakan masa selama 56 minit.

Chen Tang Jie menjelaskan kekecewaannya setelah tewas di set pertama dan tidak mahu memberikan sebarang alasan.

"Saya agak kecewa dan rasa perlawan pada hari ini kurang memberangsangkan kerana tidak dapat beri fokus 100 peratus pada perlawanan.

"Selepas ini kena lebih berlatih, berbincang dengan jurulatih dan banyakkan melihat video perlawanan untuk kaji kelemahan dan kesilapan yang dilakukan.

"Saya menghargai semua kejohanan dan ambil peluang ini untuk belajar dari setiap perlawanan," katanya.

Selain Tang Jie-Ee Wei, turut terkandas tiga lagi pasangan profesional negara yang turun beraksi sebelum itu iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai tunduk kepada pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 19-21, 21-18, 12-21.

Chan Peng Soon-Cheah Yee See juga menimpa nasib yang sama apabila akur tumpas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 8-21, 15-21.

Manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut tewas kepada wakil Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dalam perlawanan straight set 20-22, 20-22.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 5:55 PM