Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Tiada yang istimewa dipamerkan dua pemain perseorangan negara Chong Wei Feng dan Liew Daren apabila kedua-duanya tersingkir seawal pusingan pertama pada Grand Prix Emas Terbuka Thailand di Bangkok, semalam.

Wei Feng yang turun lebih awal dan juga pilihan ke-11 kejohanan, mempamer aksi lesu apabila tewas mudah 4-21, 15-21 di tangan Simon Santoso dari Indonesia dalam tempoh 35 minit.

Keputusan itu pastinya cukup mengecewakan ketika dia berperang dengan masa untuk cuba layak ke temasya Sukan Olimpik Rio tahun depan.

“Faktor angin kuat dalam stadium lebih sesuai dengan corak permainan pemain berpengalaman seperti Simon.

“Saya sudah buat yang terbaik tapi Simon bermain lebih bagus hari ini (semalam). Saya mula mendapat rentak dan mendahului 11-7 pada set kedua, tapi akhirnya tewas juga,” katanya.

Sementara itu Daren yang dilihat berpeluang untuk menang, tewas juga kepada wakil tuan rumah Mek Narongrit 21-18, 21-23, 21-23 dalam tempoh satu jam 11 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 5:29 AM