Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Malaysia meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Piala Axiata apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut, menumpaskan pasukan Pilihan Asia 3-1 di Arena Britama, Jakarta semalam.

Mata pertama pasukan negara diraih melalui ketua pasukan, Chong Wei Feng yang terpaksa berhempas-pulas sebelum mengalahkan pemain Hong Kong, Hu Yun 21-18, 15-21, 21-16 dalam perlawanan 57 minit itu.

Bagaimanapun, kedudukan kembali terikat 1-1, apabila perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi terpaksa akur kepada Tai Tzu Ying dari Taiwan selepas kalah 19-21, 16-21.

Gandingan beregu lelaki, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong kembali meletakkan Malaysia di depan apabila menumpaskan Manu Attri-Sumeeth Reddy dari India, 21-15, 21-15

Malaysia mengesahkan kemenangan kedua apabila beregu campuran, Chan Peng Soon-Lai Pei Jing menumpaskan Chun Hei-Hoi Wah dari Hong Kong, 21-18, 21-15.

Menurut Wei Feng, kemenangannya sangat penting bukan saja untuk menghadiahkan mata sulung buat negara, tetapi dalam masa sama menaikkan semangat pemain lain.

“Ini permulaan yang baik buat Malaysia kerana semua beraksi di bawah tekanan. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada beregu campuran, Peng Soon-Pei Jing kerana mengalahkan Chun Hei-Hoi Wah yang sebelum itu cemerlang mengalahkan gandingan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir kelmarin.

“Menjelang perlawanan menentang Indonesia esok (hari ini), saya belum pasti sama ada akan berjumpa Simon Santoso atau Dionysius Hayom Rumbaka,” katanya.

Jurulatih beregu lelaki, Pang Cheh Chang merehatkan Tan Boon Heong semalam untuk memberi laluan kepada Thien How berpasangan dengan bekas rakan segandingan Wee Kiong.

Cheh Chang juga memberi peluang kepada Pei Jing untuk berpasangan dengan Peng Soon dan merehatkan Ng Hui Lin untuk perlawanan beregu campuran yang ternyata membuahkan hasil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:07 AM